Kota Kinabalu: Seorang buruh tanpa dokumen dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 26 bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret pada Rabu selepas mengaku bersalah menyerang seorang lelaki dan ibunya menggunakan pisau dalam satu kejadian di Kampung Pokok Mangga, Sepanggar.
Tertuduh Ajid Sammak membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan pertama Ajid dihukum penjara 12 bulan dan satu sebatan kerana menyebabkan kecederaan terhadap Malik Abd Alik, 33, menggunakan pisau pada jam 7 pagi, 19 April tahun ini.
Bagi pertuduhan kedua dia dikenakan hukuman penjara 14 bulan dan satu sebatan lagi kerana menyerang Amatu Samad di lokasi dan waktu yang sama.
Seksyen 324 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.
Mahkamah diberitahu bahawa kejadian berlaku apabila mangsa menegur tertuduh yang bermain pisau di dalam rumah.
Teguran itu menyebabkan berlaku pertengkaran sebelum tertuduh bertindak mengacukan pisau dan berlaku pergelutan yang mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan di bawah mata akibat senjata tersebut.
Tertuduh turut menikam ibu mangsa namun serangan berjaya dihentikan. Wanita itu mengalami kecederaan ringan di kepala.
Dalam rayuan Ajid yang tidak diwakili peguam memaklumkan bahawa dia bertindak kerana marah selepas tidak dibayar upah kerja dan tidak makan selama beberapa hari.
Dia berkata bekerja sebagai pengimpal dengan upah RM100 sehari serta mempunyai dua anak hasil perkahwinan terdahulu dan memohon hukuman diringankan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Mohamad Hamidi Mohamad Hamzah yang memohon hukuman berbentuk pengajaran.
Mahkamah memerintahkan hukuman berjalan serentak dari tarikh tangkapan serta tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman.