Seekor anak beruang madu
(gambar), suatu spesies yang dilindungi sepenuhnya ditemui di Kampung Bariawa Laut.
Haiwan berkenaan yang dilihat memanjat pokok kelapa mencetuskan tanda tanya mengenai kemunculannya di luar habitat semula jadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Keningau Severinus @ Mohd Nidzam Sinkui berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.45 pagi sebelum sepasukan anggota digegaskan ke lokasi bersama jentera FRT dan kenderaan EMRS.
“Anggota bomba bertugas kemudiannya memindahkan anak beruang itu ke dalam sangkar khas sebelum dibawa ke balai.
“Pihak Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHL) seterusnya dihubungi untuk tindakan serahan dan pemuliharaan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.10 pagi,” katanya.
Severinus berkata keadaan anak beruang madu yang ditemui itu agak berbeza kerana haiwan berkenaan kelihatan aktif.
Menurutnya pemerhatian awal juga mendapati tingkah laku haiwan itu agak tenang dan jinak berbanding sifat liar kebiasaan spesies tersebut.
Beliau mengingatkan bahawa beruang madu merupakan spesies yang dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar Sabah 1997.