SANDAKAN: Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) sedang giat melaksanakan kajian semula Perintah Gaji Minimum (PGM) 2024 bagi menilai kadar semasa RM1,700 supaya kekal relevan dengan keadaan ekonomi semasa.
Timbalan Menteri Kesuma Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata kajian itu bermula Januari 2026 dan dijangka selesai pada September tahun ini.
Beliau berkata inisiatif berkenaan bertujuan mendapatkan input menyeluruh daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk majikan, pekerja, persatuan majikan dan kesatuan sekerja.
“Matlamat utama adalah merangka dasar gaji yang adil dan seimbang demi memelihara kebajikan semua pihak selaras perkembangan sosioekonomi negara,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Sapi berkata demikian ketika merasmikan Program Bicara dan Perkongsian Menelusuri 1 Mei 2026: Pekerja Madani Kesuma Bangsa Peringkat Zon Sabah pada Isnin.
Teks ucapannya disampaikan Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kesuma Sutekno Ahmad Belon.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) Mohd Asri Abdul Wahab, Pengarah JHEKS Sabah Noraini Ithnin dan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Sabah Mohd Ali Hindia.
Dalam perkembangan lain beliau berkata Kesuma sedang dan akan melaksanakan beberapa reformasi utama termasuk penguatkuasaan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872).
Katanya bermula 31 Mac lalu akta itu memberi perlindungan hak dan jaminan keselamatan sosial kepada 1.64 juta pekerja gig termasuk melalui Perkeso.
Kesuma juga melaksanakan intervensi bagi menangani krisis bekalan global melalui galakan pelaksanaan Aturan Kerja Fleksibel (AKF) sebagai langkah meningkatkan daya tahan organisasi.
Selain itu katanya Perkeso kini di peringkat akhir memperkenalkan Skim Pengembara bagi memastikan perlindungan keselamatan sosial kepada hampir 400,000 rakyat Malaysia yang berulang-alik bekerja ke Singapura.
Beliau berkata kementerian turut memperhalusi cadangan elaun bantuan cuti bersalin di bawah sistem insurans Perkeso yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 100,000 ibu di seluruh negara.
Sementara itu beliau menggesa majikan mewujudkan ekosistem kerja yang inklusif, selamat dan saling menghargai supaya pekerja berasa dilindungi serta bebas menyuarakan pandangan.
“Kesejahteraan diri dan kesihatan mental perlu diberi keutamaan bagi memastikan kelestarian produktiviti negara,” katanya.
Beliau berkata jumlah tenaga buruh negara kini mencecah 17.3 juta orang manakala kadar pengangguran berada pada 2.9 peratus, terendah dalam tempoh 11 tahun.
Pertumbuhan sektor domestik juga kekal kukuh di bawah dasar Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu Mohd Asri dalam ucapan alu-aluan merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program berkenaan.
Beliau berkata siri program itu bermula di Zon Tengah (Selangor) pada 2 April, diikuti Zon Utara (Perak) pada 9 April, Zon Selatan (Johor) pada 15 April, Zon Timur (Terengganu) pada 22 April, Sarawak pada 23 April dan Sabah pada 27 April sebelum kemuncak sambutan Hari Pekerja di Arena Bukit Jalil pada 1 Mei.
Katanya ia platform strategik menghimpunkan pekerja, majikan dan kesatuan sekerja dalam sesi dialog berfokus bagi membincangkan isu, cabaran serta cadangan penambahbaikan landskap perburuhan secara konstruktif dan berimpak tinggi.