SEMPORNA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas lebih 100,000 batang rokok seludup bernilai RM70,000 dalam satu operasi di perairan Tanjung Sironggol, di sini, pada Ahad.
Operasi yang dijalankan bersama Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna di bawah Op Khas Cegah PTI dan Op Tiris 4.0 itu dilaksanakan kira-kira pukul 1.30 pagi.
Dalam operasi terbabit, pasukan mengesan dua bot yang bergerak dalam keadaan mencurigakan pada jarak 0.5 dan 0.6 batu nautika di tenggara Tanjung Sironggol.
“Sejurus menyedari kehadiran pihak penguatkuasa, suspek bertindak terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan cetek, meninggalkan bot berkenaan.
“Pemeriksaan ke atas bot menemui tujuh kotak mengandungi pelbagai jenama rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM69,800,” menurut kenyataan APMM pada Ahad.
Dua bot beserta enjin turut dirampas dalam operasi terbabit. Kes akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967.
Sementara itu, APMM menegaskan komitmen berterusan dalam memperkukuh kawalan keselamatan sempadan negara bagi membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan dan kemasukan pendatang tanpa izin (PTI).