Kota Kinabalu: Seorang kelindan lori berusia 24 tahun dipenjara 15 tahun dan dikenakan 10 sebatan selepas mengaku bersalah merogol adik kandungnya sejak mangsa berusia 12 tahun.
Hakim Mahkamah Sesyen, Zaini Fishir menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh selepas pengakuan bersalah direkodkan.
Tertuduh melakukan sumbang mahram terhadap mangsa yang berusia 15 tahun empat bulan pada jam 8 malam Disember 2021 di kuarters pekerja sebuah kedai di Putatan.
Kesalahan di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun serta sekurang-kurangnya 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah diberitahu tertuduh merogol mangsa, yang kini berusia 19 tahun, sejak mangsa berumur 12 tahun.
Dalam rayuan, tertuduh memohon hukuman ringan serta supaya hukuman bermula dari tarikh tangkapannya, selain menyatakan masih muda dan ingin mencapai cita-citanya.
Advertisement

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.
Dia menegaskan terdapat keperluan kuat untuk hukuman pencegahan dan mesej jelas perlu dihantar bahawa perbuatan sedemikian akan dikenakan tindakan tegas.
“Mangsa dalam kes itu bukan orang asing atau kenalan, tetapi adik kandung tertuduh sendiri yang sepatutnya dilindungi, namun sebaliknya menjadi mangsa penderaan dan trauma berpanjangan,” hujah Fazriel.
Mahkamah turut dimaklumkan mangsa membuat laporan polis selepas tidak lagi mampu menanggung perbuatan tersebut.
Siasatan mendapati kejadian terakhir berlaku pada Disember 2021 ketika ahli keluarga lain tiada di rumah.
Pada hari kejadian, tertuduh masuk ke bilik mangsa selepas pulang dari kerja dan memaksa mangsa melakukan hubungan seks.
Mangsa yang enggan telah ditolak sehingga terjatuh ke atas tilam, selain diugut akan mencederakan ibu bapa mereka serta menghalaunya keluar dari rumah.
Mangsa cuba melawan dengan berbaring ke sisinya namun sia-sia.
Susulan laporan polis, tertuduh ditahan.