SANDAKAN: Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun di Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat, kerana melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak.
Hakim Roslinda Razali menjatuhkan hukuman itu terhadap Abdul Wahid Abd Salam, 63.
Mahkamah diberitahu bahawa kesalahan itu dilakukan pada 18 April, kira-kira jam 10.30 pagi di hadapan sebuah rumah setinggan tidak bernombor di Batu 3, di sini.
Dia didapati melakukan amang seksual bukan fizikal dengan cara menunjukkan kemaluan kepada seorang kanak-kanak perempuan berumur dua tahun 7 bulan.
Susulan kejadian, laporan polis dibuat sebelum tertuduh ditangkap polis.
Abdul Wahid didakwa di bawah Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Advertisement

Timbalan Pendakwaraya Yuvan Bharathan mengendalikan pendakwaan kes manakala Abdul Wahid, yang tidak mempunyai sebarang pertalian keluarga dengan mangsa, tidak diwakili.