Kota Kinabalu: Persatuan Artis Tempatan Sabah (Pertisa) membawa semangat baharu dalam usaha memperkasa industri seni tempatan Sabah agar lebih mampan, berdaya saing serta memberi manfaat menyeluruh kepada ahli dan masyarakat.
Kepimpinan baharu di bawah Presidennya Guadik Ansiw @ Adex merangka hala tuju baharu bagi sesi 2026-2028 dengan visi yang lebih jelas dan tersusun menerusi perancangan strategik untuk tempoh tiga tahun akan datang.
Dalam tempoh itu, Adex berkata Pertisa akan memberi tumpuan kepada usaha memperluas peluang ekonomi untuk artis dengan tidak hanya bergantung kepada bidang muzik dan hiburan semata-mata.
Menurutnya, antara sektor yang diberi perhatian ialah pelancongan, pertanian dan industri kreatif lain yang berpotensi meningkatkan taraf ekonomi penggiat seni tempatan Sabah.
Dari sudut jaringan industri, beliau berkata Pertisa akan memperkukuh hubungan strategik dengan agensi kerajaan, sektor swasta dan organisasi seni bagi membuka lebih banyak peluang promosi, kemudahan serta kolaborasi dalam bidang hiburan dan kreatif.
Menurut Adex, usaha ini penting bagi memastikan artis tempatan Sabah mendapat ruang yang lebih luas di peringkat lebih tinggi, di samping kebajikan ahli terus menjadi keutamaan persatuan.
Advertisement

“Pertisa komited memastikan setiap ahli menerima sokongan dari segi pembangunan kerjaya, peluang jaringan industri serta bantuan sewajarnya dalam menghadapi cabaran dunia seni yang semakin mencabar,” katanya.
Beliau turut mengajak semua penggiat seni tempatan Sabah yang belum berdaftar atau belum menyertai mana-mana persatuan seni agar menyertai keluarga besar Pertisa.
Katanya, penyatuan ini penting dalam memperkukuh suara seni tempatan serta membuka lebih banyak peluang dalam industri seni dan hiburan.
“Bersama kita lebih kuat. Dengan satu matlamat dan satu keluarga, kita mampu membawa seni Sabah ke tahap lebih tinggi,” antara harapan yang ditekankan Adex sebagai peneraju kepimpinan baharu persatuan.
Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Pertisa yang berlangsung di Dinamik Borneo, Tamparuli baru-baru ini menyaksikan kehadiran ahli lama dan baharu serta pemilihan barisan kepimpinan baharu bagi sesi 2026-2028.
Barisan terbabit ialah Adex sebagai Presiden, Timbalan Presiden James Sami, Setiausaha Clarice F.E Sipanul, Penolong Setiausaha Jovita Robert Johnny, Bendahari Mohammed Yassin Sarakawi @ Emjey, Naib Presiden I Ronney G Sigoh (Pentadbiran), Naib Presiden II Dr Ts Lanree Asing (Kewangan), Naib Presiden III Norlina Datuk Hj Light @ DJ Selina (Keahlian) dan Naib Presiden IV Clarice John Matha (Aktiviti), serta Ahli Jawatankuasa Daniel Bansatan, Justinus Asong, Donny Reyn, Sylviana Viana Saiki @ Vie dan Jalius Bongul.
Menurut Adex, dengan gabungan kepimpinan baharu, semangat kolektif dan visi yang jelas, Pertisa optimis untuk terus menjadi platform utama dalam memperjuangkan nasib serta masa depan artis tempatan Sabah.
“Persatuan ini bukan sahaja berperanan mengangkat seni, malah menjadi platform dalam memperkukuh ekonomi dan kesejahteraan ahlinya,” jelasnya.