Kota Kinabalu: Persatuan Pengurusan Pusat Jagaan OKU Leshan, yang kini menjaga 30 kanak-kanak berkeperluan khas, menerima sokongan korporat daripada Core Advisors, sebuah firma penasihat pengurusan kekayaan.
Sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR), syarikat itu menyumbang RM15,000 bagi menyokong penyediaan bahan seni, kelas berstruktur serta persekitaran pembelajaran yang kondusif.
Sumbangan tersebut diserahkan melalui penyerahan replika cek yang disaksikan pengerusi pusat itu, Brian Wong bersama wakil pengurusan Core Advisors.
Inisiatif itu bertujuan memperkasa kanak-kanak berkeperluan khas dengan membantu mereka mengenal pasti bakat, membina keyakinan diri serta mengekspresikan diri melalui seni.

Kelas seni mingguan yang diperkenalkan menyediakan peluang pembelajaran berstruktur, bermula dengan teknik asas seperti lukisan garisan dan pengenalan warna.
Sepanjang pelaksanaannya, kanak-kanak menunjukkan peningkatan dalam kemahiran seni, keyakinan dan motivasi.
Advertisement

Menurut pegawai bertanggungjawab pusat, Emma, kanak-kanak mereka kini menantikan setiap sesi dengan penuh keterujaan berbanding sebelum ini yang hanya tertumpu kepada rutin asas tanpa program pengayaan.
Selain sumbangan kewangan, Core Advisors memberi tumpuan kepada pembangunan berterusan apabila hasil karya terpilih dijadikan beg kanvas dan dijual kepada pelanggan serta orang awam, membolehkan kanak-kanak menghargai nilai ciptaan mereka. Hasil jualan pula dilaburkan semula bagi memastikan kesinambungan program yang dijadualkan bermula Mei 2026.
Satu pencapaian penting direkodkan apabila karya seni kanak-kanak dipamerkan dalam pameran “Art For All” yang berlangsung dari 14 Februari hingga 14 April lalu di Tinggi Tinggi Art Creative Hub, Jesselton Quay.
Core Advisors turut merakamkan penghargaan kepada pengasas hab seni itu, Japson Wong, atas peluang yang diberikan.
Majlis penyerahan cek diadakan secara sederhana dengan penekanan kepada interaksi bersama kanak-kanak, manakala suasana turut dimeriahkan apabila Syarikat Perniagaan Wanto (KK) menaja ais krim kepada mereka.
Namun kekangan sumber menyebabkan program kini dikurangkan kepada dua sesi seminggu dengan dana sedia ada hanya mencukupi sehingga Ogos 2026.
Core Advisors berharap lebih banyak pihak tampil menyokong bagi memastikan kesinambungan program tersebut.
“Impak bukan sekadar memberi, tetapi membantu individu mengenal potensi diri,” menurut syarikat itu.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau menyokong inisiatif ini boleh menghubungi Ellie Liew di talian 017-8111898.