SANDAKAN: Hari Anzac bukan sahaja memperingati tawanan perang yang menderita dan terkorban semasa Perang Dunia Kedua, tetapi juga mengiktiraf sumbangan pelbagai pihak, termasuk rakyat tempatan Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, di sebalik kegelapan itu, nilai kemanusiaan tetap terserlah apabila penduduk kampung tempatan sanggup mempertaruhkan nyawa untuk membantu tawanan perang.
“Hari ini, kita berkumpul untuk mengimbas satu bab suram dalam sejarah bersama serta menghargai keberanian, ketabahan dan kepahlawanan,” katanya.
Beliau berkata ribuan tawanan perang dari Australia dan Britain berdepan penderitaan teruk di kem-kem di seluruh Asia Tenggara, termasuk di Sandakan dan Ranau.
Kem-kem itu menjadi simbol penderitaan yang ditandai kekejaman, kebuluran, buruh paksa serta perarakan maut yang meragut hampir semua nyawa tahanan.
“Kita mengingati dengan penuh bangga rakyat tempatan yang berani memberikan perlindungan dan bantuan walaupun berdepan risiko hukuman berat termasuk dipukul atau dibunuh.
Advertisement

“Mereka bertindak kerana itu adalah perkara yang betul untuk dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sambutan Hari Anzac 2025 di Taman Peringatan Sandakan, di sini, Sabtu. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee.
Turut hadir Komander Divisyen Pertama Tentera Australia Mejar Jeneral Ash Collingburn, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur Simon Fellow, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Suruhanjaya Tinggi Britain di Kuala Lumpur David Wallace, Konsul Kehormat Australia Datuk Andrew Sim, Setiausaha Kanan Bahagian Norita Tani yang mewakili Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar serta Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah Julinus Jeffery Jimit.
Hajiji berkata hubungan sejarah antara Australia, Britain dan Malaysia bukan sahaja terjalin melalui konflik, malah melalui nilai kemanusiaan dan belas ihsan.
Seiring dunia berdepan cabaran moden, beliau menggesa semua pihak mengambil iktibar daripada sejarah.
“Walaupun dalam detik paling gelap, setiap daripada kita mempunyai keupayaan untuk memberi perubahan dalam kehidupan orang lain.
“Pengorbanan dan nilai kemanusiaan yang ditunjukkan ketika itu kekal menjadi ikatan yang berpanjangan antara rakyat kita,” katanya.
Beliau menegaskan jasa dan pengorbanan tawanan perang serta keberanian komuniti tempatan tidak boleh dilupakan.
“Bersama-sama kita akan memastikan mereka tidak dilupakan,” katanya.
Sementara itu, dalam ucapannya, Ash berkata beliau berbesar hati menghadiri sambutan tahunan Hari Anzac yang diadakan setiap 25 April di Taman Peringatan Sandakan, tempat keluarga dan rakan tawanan perang berkumpul bagi memperingati mereka.
Beliau turut mengiktiraf hubungan antara negara melalui sejarah bersama sejak lebih 80 tahun lalu, termasuk pengorbanan tawanan perang dan bantuan masyarakat tempatan ketika itu.
Khamis lalu, majlis makan malam alu-aluan Hari Anzac Sandakan 2026 diadakan di Dewan Kapalai, Ormond Hotel, di sini.
Dalam ucapan yang disampaikan oleh Vivian, Hajiji berkata penganjuran tahunan itu bukan sekadar untuk memperingati sejarah, malah mengingatkan nilai keamanan, kekuatan persahabatan antarabangsa serta tanggungjawab bersama membina dunia yang lebih harmoni.
Sabah menghargai hubungan lama dengan Australia dan New Zealand yang terus diperkukuh melalui pelancongan, perdagangan, pendidikan, kerjasama alam sekitar serta hubungan erat antara rakyat.
“Tapak warisan seperti Taman Peringatan Sandakan merupakan penjaga penting kepada kisah sejarah ini.
“Melalui pelancongan berasaskan sejarah dan pemuliharaan warisan, kita memastikan sejarah terus hidup dan menjadi panduan masa depan,” katanya.
Beliau berkata Sandakan bukan sekadar lokasi peringatan, sebaliknya pintu masuk kepada khazanah semula jadi dan budaya yang luar biasa termasuk hidupan liar unik, hutan hujan serta komuniti dan tradisi yang kaya.
Julinus dalam ucapannya berkata majlis makan malam itu menjadi platform untuk berinteraksi dalam suasana lebih santai dan bermakna.
“Di Sabah, layanan mesra adalah sesuatu yang kami hargai, sama ada dalam cara menyambut tetamu, berkongsi makanan atau berhubung melalui perbualan ringkas,” katanya.
Beliau berkata Sandakan mempunyai pelbagai lapisan keunikan, bukan sahaja dari segi sejarah, tetapi juga keindahan alam semula jadi, hidupan liar serta komuniti yang mesra dan budaya yang menarik untuk diterokai.