Kundasang: Satu kejadian luar biasa berlaku di Substesen Panalaban, Taman Kinabalu pada Khamis apabila pembentukan ais muncul di atas rumput, meskipun cuaca di Ranau panas dan kering sejak sebulan lalu.
Penyelia Substesen Panalaban, Julaimin Kamin, yang berkongsi kejadian itu di Facebook berkata fenomena pembekuan ais tersebut direkodkan pada Khamis di kawasan Substesen Panalaban pada ketinggian kira-kira 3,272.7 meter dari aras laut.
“Fenomena ini berlaku susulan keadaan cuaca kering dan kelembapan udara yang rendah di kawasan Gunung Kinabalu sepanjang minggu ini. Keadaan ini menyebabkan penurunan suhu yang ketara di kawasan altitud tinggi, sekali gus mengakibatkan pembentukan ais pada permukaan tumbuhan dan persekitaran kem pangkalan Panalaban,” katanya.
Menurut beliau, pembekuan ais merupakan fenomena semula jadi yang lazim berlaku secara berkala di kawasan altitud tinggi Gunung Kinabalu, khususnya apabila cuaca cerah, kering dan suhu menurun dengan ketara pada waktu malam hingga awal pagi.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pendaki, malim gunung, porter serta kakitangan di kawasan Panalaban supaya memakai pakaian yang sesuai dengan cuaca sejuk, mengekalkan tahap hidrasi badan dan mematuhi arahan keselamatan daripada pengurusan serta kakitangan Taman-Taman Sabah.
Beliau berkata pihak Taman-Taman Sabah akan terus memantau perkembangan cuaca dan suhu di kawasan altitud tinggi bagi memastikan keselamatan pengunjung dan kakitangan sentiasa terjamin.