Sun, 19 Apr 2026
Headlines:
Kerjasama penting bendung penularan KHV: Jamawi
Published on: Friday, April 17, 2026
Published on: Fri, Apr 17, 2026
By: Bernama
Text Size:
Text:
Kerjasama penting bendung penularan KHV: Jamawi
Jamawi berkata kerjasama serta sokongan komuniti di lapangan amat penting dalam memastikan arahan pengeluaran ikan koi dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan di semua kawasan terlibat bagi membendung penularan penyakit Koi Herpesvirus (KHV).
Kota Kinabalu: Kerjasama jawatankuasa tagal dan penduduk kampung di Sabah dalam melaksanakan arahan kerajaan mengenai pengeluaran ikan koi dari sungai dan kawasan tagal membantu melancarkan pelaksanaan pekeliling yang berkuat kuasa pada 8 April lepas.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Jamawi Jaafar berkata kerjasama serta sokongan komuniti di lapangan amat penting dalam memastikan arahan pengeluaran ikan koi dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan di semua kawasan terlibat bagi membendung penularan penyakit Koi Herpesvirus (KHV).

Advertisement
Beliau berkata penduduk kampung semakin memahami kesan pelepasan ikan hiasan ke sungai atau kawasan tagal kerana bimbang virus berkenaan boleh menjangkiti spesies ikan pelian.

“Penduduk kampung mengucapkan terima kasih atas arahan itu kerana selama ini mereka hanya mendengar desas-desus berkenaan punca kematian ikan pelian di kawasan tagal.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
“Apabila kenyataan rasmi dikeluarkan, penduduk mula memahami bahawa proses untuk mewarna-warnikan sungai tagal dengan meletakkan ikan koi ialah satu kesilapan besar. Dengan pekeliling itu, semua pengusaha tagal berusaha mengeluarkan ikan koi dari sungai masing-masing,” katanya kepada Bernama.

Tagal, perkataan bahasa Kadazandusun bermaksud “jangan”, merupakan sistem pengurusan sumber asli tradisional di Sabah, yang melarang penangkapan ikan di zon sungai untuk tempoh masa tertentu bagi diternak, sebelum dituai bagi sumber makanan serta pendapatan kepada penduduk setempat.

Advertisement
Ikan pelian atau Tor douronensis adalah antara spesies ikan kelah tempatan yang terdapat di kawasan Borneo terutama Sabah dan Sarawak, serta sering diternak dalam tagal. Jamawi berkata isu kematian spesies pelian di sungai dan kawasan tagal telah dilaporkan sejak Jun 2022, sebelum pelbagai kajian dijalankan dengan kerjasama Bahagian Marin Universiti Malaysia Sabah.

Pada Januari lepas, beliau berkata hasil kajian mendapati ikan koi berpotensi menjadi antara faktor yang mengganggu keseimbangan ekosistem sungai akibat virus bawaan spesies itu, sekali gus menjejaskan ikan pelian.

Advertisement
Beliau berkata arahan pekeliling itu dikeluarkan kepada semua pengusaha tagal bagi memastikan ikan koi di sungai serta kawasan tagal dapat dikeluarkan segera, dan pelaksanaannya kini giat dijalankan di kawasan terlibat, khususnya di sungai yang dikenal pasti mempunyai kehadiran spesies berkenaan.

Ini termasuk melaksanakan pemantauan berterusan di beberapa kawasan tagal seperti Ranau, Keningau, Tambunan, Tenom dan Sipitang.

Bagaimanapun, Jamawi menjelaskan arahan itu tidak melibatkan ikan koi yang dipelihara di kolam ikan hiasan, namun mengingatkan supaya haiwan berkenaan tidak dilepaskan di sungai atau kawasan tagal.

“Ikan koi yang terdapat di sungai sedang diusahakan untuk ditangkap serta dilupuskan (mengikut garis panduan biosekuriti ditetapkan Jabatan Perikanan Sabah) atau dipindahkan semula ke kolam hiasan.

“Kita tidak mahu virus KHV terus mengganggu ekosistem sungai yang telah berlarutan sekian lama. Kita tahu ikan pelian ini ialah khazanah Sabah dan harus dipertahankan. Sekiranya keadaan ini berterusan, ikan pelian berkemungkinan pupus di sungai-sungai di Sabah.

“Justeru, menjadi tanggungjawab saya sebagai menteri untuk menguatkuasakan peraturan ini supaya generasi akan datang dapat mewarisi spesies ikan pelian di sungai-sungai kita,” katanya.

Baru-baru ini, Jabatan Perikanan Sabah mengarahkan semua Pengerusi Jawatankuasa Tagal negeri ini supaya mengambil tindakan segera mengeluarkan spesies ikan koi (Cyprinus sp.) dari kawasan tagal dan sungai tempatan bagi membendung penularan penyakit KHV.

Dalam Pekeliling Pengarah Perikanan Sabah Bil. 1/2026 bertarikh 8 April, jabatan itu memaklumkan arahan berkenaan dikeluarkan susulan pengesanan kes positif KHV yang menjangkiti ikan tempatan, termasuk spesies pelian, di beberapa sungai serta kawasan tagal.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here