SANDAKAN: Sebanyak 1,139 kilogram minyak masak bersubsidi dalam paket dirampas dalam serbuan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Sandakan di sebuah rumah yang dijadikan tempat penyimpanan barang kawalan itu pada Khamis.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Sandakan Joe Azmi Jamil berkata, serbuan kira-kira jam 9.47 malam itu dilakukan susulan risikan selama seminggu yang mengesan aktiviti penyimpanan di premis kediaman berkenaan.
Beliau berkata pemeriksaan mendapati sebanyak 1,139 paket minyak masak bersubsidi 1 kilogram disimpan di dalam sebuah bilik di rumah terbabit.
“Siasatan awal mendapati individu terlibat gagal mengemukakan sebarang permit atau lesen sah untuk menyimpan barang kawalan tersebut.
“Kesemua minyak masak itu dirampas dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM2,747. Seorang wanita tempatan berusia 20 tahun yang dipercayai bertanggungjawab di lokasi itu telah dirakam percakapannya bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda sehingga RM1 juta, penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama. Pesalah berulang boleh dikenakan denda sehingga RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun.
Joe Azmi berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau sindiket yang terlibat dalam penyelewengan barang kawalan termasuk minyak masak bersubsidi dan akan mengambil tindakan tegas termasuk pendakwaan.
Beliau menambah, pemantauan berterusan serta audit menyeluruh dilaksanakan bagi memastikan minyak masak bersubsidi sampai kepada golongan sasaran melalui saluran pengedaran yang betul.
Orang ramai digesa menyalurkan maklumat mengenai aktiviti seperti ini kepada pihak berkuasa, selain tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kebimbangan awam.