Kota Kinabalu: Pengerusi Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Sabah, David Chan (
gambar), menggesa Kerajaan Persekutuan mempercepat pelaksanaan sistem kad armada petrol.
Katanya, pihaknya menyokong objektif rasionalisasi subsidi kerajaan, namun kecekapan dan ketepatan masa pelaksanaan adalah sama penting bagi mengelakkan kesan tidak diingini terhadap penyedia perkhidmatan penting dan orang ramai.
“Kelewatan berterusan menyebabkan kos meningkat bagi pengusaha bas sekolah, petani dan nelayan di seluruh Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata ramai pengusaha dalam sektor berkenaan masih belum menerima kad armada mereka, sekali gus memaksa mereka menanggung kos bahan api lebih tinggi selepas kuota subsidi terhad mereka habis digunakan.
“Kelewatan ini berisiko mencetuskan rantaian kenaikan kos yang akhirnya akan ditanggung rakyat biasa, khususnya golongan berpendapatan B40 dan M40.
“Sistem subsidi yang dilaksanakan dengan baik bukan sahaja perlu adil, tetapi juga responsif terhadap keperluan sebenar di lapangan,” katanya.
Menurutnya, pengusaha bas sekolah, petani dan nelayan adalah antara pihak yang paling bergantung kepada bahan api bersubsidi untuk operasi harian mereka, dan sebarang gangguan terhadap bantuan bahan api bersasar akan memberi kesan langsung kepada pengguna.
Beliau berkata kelewatan berpanjangan boleh menyebabkan tambang bas sekolah meningkat, harga hasil pertanian dan makanan laut naik serta gangguan rantaian bekalan, terutama di Sabah yang mempunyai komuniti luar bandar yang sangat bergantung kepada sektor berkenaan.
Selain itu, beliau menggesa kerajaan mempercepat pengagihan kad armada kepada semua pengusaha yang layak, menyemak semula peruntukan kuota bahan api agar lebih selari dengan keperluan operasi sebenar serta memastikan mereka yang tercicir akibat masalah teknikal atau pendaftaran tidak diketepikan.
Beliau turut menyeru penyelarasan lebih kukuh antara agensi berkaitan bagi memastikan proses pelaksanaan berjalan lancar dan telus.