Sat, 11 Apr 2026
Headlines:
Industri lombong emas di Tawau iktiraf kepakaran tempatan
Published on: Thursday, April 09, 2026
Published on: Thu, Apr 09, 2026
By: Lagatah Toyos
Text Size:
Text:
Industri lombong emas di Tawau iktiraf kepakaran tempatan
LO (tengah) merakamkan gambar bersama sebahagian tenaga kerja pakar tempatan yang menjadi nadi kepada kejayaan perlombongan emas di Tawau yang diterajuinya.
PEMBUKAAN operasi dua lombong emas di Bukit Mantri dan Bukit Tundong, Balung di Tawau yang dimulakan sekitar 12 tahun lalu dikatakan menjadi ‘lombong rezeki’ buat anak-anak tempatan apabila 95 peratus daripada 300 tenaga kerjanya merupakan rakyat Sabah sendiri.

Ini sekaligus mengiktiraf kepakaran anak-anak muda tempatan, sama ada tenaga profesional seperti jurutera, geologis dan metalurgis, termasuk juga operator dan tenaga sokongan - tanpa kebergantungan kepada kepakaran luar negara sama sekali.

Advertisement
ATIRAH antara geologis muda dalam operasi lombong emas di Tawau.Bagi Shahirah Atirah Lee, 27, ‘meninggalkan’ impian zaman kanak-kanaknya mahu menjadi doktor tidak dikesali, sebaliknya dia memecahkan persepsi tradisional dengan terjun ke bidang geologis dan memilih kerjaya di sektor perlombongan emas.

Keputusan berani anak jati Ranau yang membesar di Kota Kinabalu itu membuktikan kerjaya di sektor perlombongan yang dianggap ‘kotor atau berat’ bukan hanya untuk lelaki.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Malah, Atirah boleh mengukir senyuman bahagia kerana berpeluang menyaksikan sendiri proses A - Z penghasilan emas yang menjadi satu lagi bukti nyata betapa negeri ini amat kaya dengan pelbagai sumber mineral asli.

Lebih menggembirakannya, dia tidak perlu berhijrah dari Sabah dan jauh dari keluarga tersayang, semata-mata mahu memperoleh gaji lumayan - Atirah hanya terpisah jarak sekitar 279 kilometer (KM) melalui jalan udara atau sekitar 451 KM (jalan darat) di Tawau dan akan pulang ke kampung halaman setiap kali cuti.

Advertisement
Selesa dipanggil Atirah, graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu mengakui perwatakannya yang sentiasa aktif bergerak mendorong minatnya mencari pekerjaan luar berbanding duduk dalam pejabat.

Bermula dalam pasukan eksplorasi di Telupid selama tiga tahun, dia beralih ke sektor perlombongan emas di Tawau dan berpeluang melihat sendiri hasil daripada kajian yang dijalankan - dari peringkat awal hingga pengeluaran emas tulen.

Advertisement
Menurutnya, sokongan ibu bapa menjadi pembakar semangatnya menceburi bidang tersebut memandangkan mereka mendidiknya supaya menjadi seorang wanita yang kuat dan berdikari.

“Ibu bapa saya banyak berpesan bahawa tidak semestinya lelaki sahaja yang kena (perlu) kuat. Wanita juga kena kuat supaya boleh (bertahan) hidup walaupun ke mana kita pergi. Jangan jatuh sedikit sahaja sudah menangis, luka sedikitpun menangis sebab luka itu akan sembuh,” kongsinya.

 Tiada diskriminasi gender bagi geologis wanita di lombong emas

Berkongsi pengalaman kerjanya sebagai geologis selama setahun enam bulan di syarikat perlombongan emas di Tawau, dia berpandangan kerjaya itu menjadi lebih mudah bagi kaum wanita kerana mereka dikelilingi oleh orang-orang baik yang akan sentiasa membantu.

“Tiada diskriminasi jantina… Sebaliknya rakan-rakan sekerja lelaki ringan tulang. Mereka faham tenaga wanita kurang sedikit berbanding mereka,”katanya yang menggangarkan boleh mengangkat sampel (batu) sedikit demi sedikit sehingga berjumlah 50 kilogram (kg) sehari.

Bagaimanapun, Atirah mengakui pekerjaannya agak sukar pada mulanya, memandangkan penglibatannya dalam pasukan eksplorasi sebelum ini adalah bauksit (bijih utama untuk menghasilkan aluminium) dan nikel (logam keras berwarna perak yang digunakan dalam pelbagai industri moden), kerana cara pencariannya berbeza dengan ‘cari emas’.

“Bagi saya kerjaya sebagai geologis ini sangat menarik kerana mempunyai banyak cabang. Kita boleh masuk bidang minyak dan gas,perlombongan dan pembinaan juga,”katanya yang mahu bekerja lama dalam sektor berkenaan kerana minat mendalam.

Bagaimanapun, Atirah mengakui cabaran sebagai wanita dalam bidang ini, khususnya dari segi kesihatan (dalaman wanita kerana mengangkat berat) dan keperluan tenaga fizikal, namun, dia percaya setiap perkara mempunyai penyelesaian tersendiri, misalnya bekerjasama rapat dengan pasukan sekerja seperti pembantu lapangan.

Anak Balung bangga Tawau hasilkan emas berkualiti tinggi di Malaysia

Manakala, bagi anak jati Tawau yang tinggal di Balung, Nor Syahirah Rusdi, 30, pula menjadikan sektor perlombongan emas di daerahnya sendiri sebagai kerjaya pertama sebaik sahaja tamat pengajian di UMS.

NOR Syahirah anak kelahiran Balung, Tawau.Kini menjawat posisi Senior Metallurgist, Nor Syahirah sudah enam tahun bekerja di industri sama yang disifatkannya memberi impak besar kepada ekonomi tempatan, khususnya Tawau, selain kejayaan teknikal.

Ini kerana, katanya, peluang pekerjaan di sektor itu bukan sahaja tertumpu kepada tenaga profesional tetapi juga membuka ruang kepada pekerja tempatan sebagai operator dan tenaga sokongan.

“Keutamaan sememangnya diberikan kepada penduduk tempatan bagi mengisi jawatan-jawatan tersebut, sekaligus membantu meningkatkan taraf ekonomi komuniti sekitar,” katanya.

Sebagai metalurgis, Nor Syahirah mengakui industri perlombongan mempunyai cabaran tersendiri apabila memerlukan nilai pelaburan awal yang tinggi, khususnya pada peringkat eksplorasi - menjadi risiko utama kepada pelabur kerana tiada jaminan pulangan.

“Sektor perlombongan memerlukan modal berjuta-juta sebelum kita tahu sama ada kawasan itu benar-benar menguntungkan atau tidak.

“Namun, walaupun berisiko, kejayaan operasi lombong di Bukit Tundong ini membuktikan bahawa dengan kepakaran, teknologi dan keberanian pelaburan, industri perlombongan emas di Sabah menjadi antara penyumbang utama ekonomi negara,”katanya.

Lebih membanggakan Nor Syahirah sebagai anak Tawau, operasi lombong emas di syarikatnya bekerja berjaya mencapai kadar pemulihan (recovery) sehingga 95 peratus - antara yang tertinggi di Malaysia.

Jelasnya, kadar recovery bermaksud hampir keseluruhan kandungan emas dalam batuan berjaya diekstrak melalui pemprosesan moden menggunakan teknologi khas oleh pakar tempatan sendiri.

Tsunami Acheh 2004 cetus minat mendalami bidang geologi

Sementara itu, Mine Geology Superintendent, Norfazilah Ramlan, 36, yang mengetuai pasukan geologi bagi perlombongan emas di Bukit Tundong, Balung pula mengakui kerjaya itu merupakan impiannya sejak tingkatan dua lagi.

NORFAZILAH menerangkan jenis batuan yang dikaji bagi menentukan kandungan mineral asli.Menurutnya, semuanya bertitik-tolak daripada tragedi tsunami Acheh pada December 2004 apabila melihat banyak berita dan artikel geologi disiarkan seperti bagaimana terjadi gempa dan tsunami.

“Dari situlah saya tahu tentang bidang geologi dan menjadi sangat tertarik. Sejak itu memang target (sasaran) saya mahu menjadi seorang geologis satu hari nanti,”kata anak kelahiran Negeri Sembilan itu.

Katanya, keluarga tidak pernah menghalang kerjayanya, termasuk keputusannya berhijrah ke Sabah (Tawau) kerana mereka tahu minatnya, termasuk keberaniannya keluar dari zon selesa dan jauh dari tanah kelahirannya sendiri untuk mencari rezeki di Malaysia Timur.

Norfazilah berkata, cabaran sebagai wanita yang bekerja di sektor perlombongan, adalah mereka perlu kuat mental dan fizikal atau terpaksa berdepan risiko tekanan (stress) bagi membantu mencapai sasaran produktiviti syarikat.

Malah, mengangkat batu (sampel mengandungi emas) seberat 10 kilogram (kg) dari hutan menjadi perkara rutin bagi seorang geologis, namun, kru di lapangan sentiasa membantu dan tiada diskriminasi gender berlaku.

Selain itu, katanya, industry perlombongan sememangnya menjanjikan pendapatan lumayan, meskipun berdepan cabaran lokasi lombong yang 99 peratus terletak jauh di kawasan pedalaman, kecuali sebuah lombong di Kuala Lipis yang hanya lima minit dari kawasan bandar.

“Di sini, walaupun berada jauh di ceruk hutan tapi segala kemudahan seperti kuarters pekerja, makan minum dan sebagainya disediakan sepenuhnya oleh syarikat. Gaji hanya untuk diri sendiri. Ini antara kelebihan apabila kita bekerja di pedalaman,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini dia menjadi sebahagian daripada pasukan eksplorasi di Penjom Gold Mine, Kuala Lipis, Pahang yang merupakan lombong emas terbesar di Semenanjung Malaysia selama tujuh tahun dan berhijrah ke Sabah selepas mendapat tawaran bekerja di Tawau, dan kini sudahpun lima tahun bekerja di negeri ini.

Kerjaya geologis di Sabah berada di puncak dengan pembukaan lombong emas di Tawau

Berdasarkan pengalaman panjangnya, Norfazilah yang merupakan graduan Universiti Malaya (UM) di bidang Sains Geologi berkata, Sabah memiliki potensi perlombongan yang cukup besar untuk dimajukan kerana taburan mineralnya luas.

Namun, katanya, kekangan utama adalah kekurangan pelabur tempatan kerana industri ini memerlukan modal besar dan berisiko tinggi, terutama pada peringkat eksplorasi.

“Untuk drilling sahaja kos boleh mencecah puluhan juta ringgit tanpa jaminan hasil. Itu yang membuatkan ramai pelabur takut,”katanya.

Justeru, Norfazilah mengakui kagum dengan keberanian pengasas Southsea Gold Sdn Bhd dan Wullersdorf Resources Sdn Bhd, Datuk Lo Fui Ming - syarikat tempatan pertama di Malaysia menerokai sumber kekayaan mineral emas di Bukit Mantri dan Bukit Tundong sejak 2014.

Dia berharap lebih ramai pelabur tempatan tampil meneroka peluang ini bagi memajukan industri perlombongan negara, sekaligus mencipta pelbagai peluang pekerjaan berkaitan kepada generasi muda.

Katanya, kerjaya di bidang geologi sememangnya ‘tengah naik’ dan semakin mendapat tempat di Sabah, serta disifatkannya kini bermula semula menerusi pembukaan lombong emas pertama di Sabah (Tawau) oleh syarikat tempatan Malaysia sendiri.

Katanya, sektor perlombongan di Sabah sebelum ini melalui satu ‘fasa sepi’ yang agak lama susulan penutupan operasi Lombong Mamut (tembaga) di Ranau sekitar tahun 90an.

“Dengan pembukaan dua lombong emas di Tawau, memang industri perlombongan di Sabah sedang rancak, sekaligus profesion geologi mendapat permintaan sangat tinggi,” katanya.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here