Kota Kinabalu: Sebanyak 183 kenderaan dan motosikal diperiksa dalam Operasi Gerak Kenderaan Motor Kebangsaan peringkat negeri (Ops Gerak) yang membabitkan 118 kenderaan diesel, 25 kenderaan petrol dan 40 motosikal.
“Daripada jumlah itu, 13 didapati melanggar peraturan alam sekitar,” kata Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah Nor Rashidah Mohd Ghazali.
Advertisement
_E.jpg)
Operasi yang berlangsung dari 4 hingga 8 April dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah itu menyasarkan kenderaan dan motosikal yang tidak mematuhi peraturan di beberapa lokasi utama termasuk Jalan UMS Likas.
Rashidah berkata pegawai penguatkuasa mengeluarkan 13 kompaun dan empat notis bagi pelbagai kesalahan terutamanya melibatkan bunyi bising motosikal yang berlebihan dan pelepasan asap hitam.
“Operasi ini memberi tumpuan kepada bunyi bising motosikal (Ops Gerak), pengurusan bahan pendingin (Operasi Refrigeran) serta pemeriksaan premis industri berisiko tinggi (Operasi Gempur),” jelasnya.
Beliau berkata kesalahan bunyi bising motosikal mencatat jumlah tertinggi, kebanyakannya berpunca daripada pengubahsuaian ekzos secara haram manakala pelepasan asap hitam pula sering dikaitkan dengan penyelenggaraan kenderaan kurang baik.
Advertisement

“Polis turut mengeluarkan lima saman manakala JPJ mengeluarkan 59 kompaun. LPKP juga mengeluarkan dua notis tambahan,” katanya.
Selain itu, di bawah peraturan sedia ada, pesalah boleh dikenakan kompaun sehingga RM300 bagi kesalahan bunyi bising dan RM2,000 bagi pelepasan asap berlebihan.
Beliau memberi amaran bahawa ketidakpatuhan berterusan boleh membawa kepada tindakan lebih tegas termasuk pendakwaan di mahkamah.
Selain Ops Gerak, Rashidah menegaskan komitmen JAS Sabah dalam menangani pencemaran udara melalui pelaksanaan Operasi Statik secara berterusan termasuk pemeriksaan di Fasiliti Diluluskan (KYDL-Puspakom), bengkel penyelenggaraan penghawa dingin serta pengendali armada selain Operasi Catat & Kamera Video di seluruh Sabah.
“Melalui pelaksanaan Operasi Statik sebanyak tiga kali, 155 kenderaan diesel telah diperiksa. Sebanyak 11 notis arahan di bawah Seksyen 48A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 telah dikeluarkan kepada pemilik kenderaan yang tidak mematuhi had pelepasan yang dibenarkan.
“Tiga premis penyelenggaraan penghawa dingin dan lima pengendali armada turut diperiksa di bawah Operasi Refrigeran bagi memastikan penyelenggaraan enjin berada pada tahap piawaian serta menjalankan pemeriksaan pelepasan asap secara berkala,” jelasnya.
Tambah beliau, Operasi Catat & Kamera Video telah dilaksanakan sebanyak 49 kali dengan fokus kepada kenderaan diesel. Sebanyak tujuh notis arahan di bawah Seksyen 48A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 telah dikeluarkan kepada individu yang kenderaannya mengeluarkan asap hitam.
Rashidah menasihatkan semua pemilik kenderaan diesel komersial, pengangkutan awam dan persendirian supaya memastikan enjin diselenggara secara berkala dan berada dalam keadaan baik selain menggunakan pelincir serta bahan api berkualiti tinggi bagi mengurangkan pelepasan pencemar.
“Mereka juga perlu memastikan sistem ekzos, penukar pemangkin dan komponen lain berfungsi dengan baik serta mengelakkan pengubahsuaian haram yang meningkatkan pelepasan asap,” katanya.
Beliau turut menggesa pemilik kenderaan supaya memandang serius sebarang notis pemeriksaan semula yang dikeluarkan oleh JAS Sabah.
“Bersempena Hari Penguatkuasaan JAS yang disambut pada 15 April setiap tahun, JAS Sabah kekal komited memastikan kualiti udara yang bersih dan selamat untuk rakyat Sabah,” katanya.