TAWAU: Isu kenaikan harga diesel di Semenanjung berbanding harga lebih rendah di Sabah dan Sarawak yang terus menjadi perdebatan ramai tidak seharusnya dilihat secara sempit malah sejajar realiti kehidupan rakyat di kedua-dua negeri Borneo itu.
Timbalan Pesuruhjaya Pas Sabah Ahmad Dullah menegaskan bahawa kos sara hidup di Sabah sebenarnya jauh lebih tinggi berbanding di Semenanjung termasuk harga barangan keperluan harian yang sudah sekian lama membebankan rakyat.
Advertisement
_E.jpg)
“Rakyat di Semenanjung menikmati harga barang yang lebih murah selama ini. Di Sabah kami sudah terbiasa dengan harga yang tinggi,” katanya.
Menurutnya penggunaan kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Sabah bukanlah satu kemewahan sebaliknya satu keperluan asas atas faktor geografi yang berbukit, jalan raya kurang sempurna serta jarak perjalanan jauh sekali gus menjadikan kenderaan diesel sebagai tulang belakang pergerakan ekonomi dan sosial rakyat.
“Diesel murah di Sabah adalah keperluan utama untuk meneruskan kehidupan dan perniagaan, bukan satu keistimewaan,” katanya sambil memohon agar rakan-rakan di Semenanjung dapat memahami realiti kehidupan rakyat di negeri ini.
Mengulas lanjut Ahmad berpandangan kerajaan tidak seharusnya menaikkan harga bahan api memandangkan bekalan minyak negara masih stabil dan laluan penghantaran antarabangsa (Selat Hormuz) berada dalam keadaan selamat untuk negara ini.
Advertisement

Tambahnya kenaikan harga diesel memberi kesan berantai kepada harga barang sehingga meningkatkan beban rakyat.
“Bila harga minyak naik, semua harga barang akan turut sama naik. Ini sangatlah membebankan rakyat,” katanya lagi.
Beliau turut menekankan bahawa seruan berjimat cermat perlu dimulakan oleh pihak kepimpinan kerajaan terlebih dahulu sebelum meminta rakyat berbuat demikian.
“Sebelum suruh rakyat berjimat, pemimpin mesti memberikan contoh. Potong elaun wakil rakyat dan menteri terlebih dahulu termasuk elaun minyak,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan beliau menyifatkan kenyataan Senator Filipina Robin Padilla untuk menuntut semula Sabah susulan krisis bekalan dihadapi negara itu sebagai tidak masuk akal dan hanya publisiti murahan untuk mengalihkan kemarahan rakyat mereka.
“Sabah sudah membuat keputusan sah menyertai Malaysia melalui proses yang diiktiraf.
“Tuntutan tersebut hanya dilihat sebagai usaha mengalih perhatian daripada masalah dalaman negara mereka,” tegasnya.