SANDAKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Sandakan menumpaskan satu aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam serbuan di bawah Ops Tiris 4.0 di sebuah stesen minyak di bandar ini pada pagi Jumaat.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Sandakan Joe Azmi Jamil berkata dalam operasi kira-kira jam 11.12 pagi itu sepasukan pegawai penguatkuasa KPDN Sandakan menyita sebanyak 120 liter minyak diesel bersubsidi yang disimpan dalam tujuh jerikin dan diangkut menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Advertisement
_E.jpg)
“Hasil pemeriksaan awal mendapati dua lelaki berusia antara 34 hingga 49 tahun, masing-masing seorang warga tempatan dan seorang warga asing tidak memiliki sebarang kebenaran atau permit untuk membeli minyak diesel bersubsidi dalam kuantiti tersebut.
“Serbuan ini merupakan hasil pemeriksaan berterusan di bawah Ops Tiris 4.0 yang dilaksanakan KPDN Sandakan selaras dengan arahan kementerian yang berkuatkuasa mulai 1 April khusus bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Kedua-dua suspek termasuk pengusaha stesen minyak terbabit, akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM70,258,” katanya dalam kenyataan kepada media.
Advertisement

Mengulas lanjut beliau menyatakan arahan terbabit menetapkan kawalan penjualan diesel kepada kenderaan pengangkutan darat mengikut kategori dengan had pembelian sebanyak 50 liter, 100 liter dan 150 liter bagi setiap transaksi untuk memastikan bekalan diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter tidak disalahguna oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Menurutnya di bawah akta tersebut individu yang disabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi kesalahan berulang denda boleh mencecah RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun.
“Syarikat pula boleh didenda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.
“Sehubungan itu KPDN mengingatkan semua pengusaha stesen minyak agar mematuhi sepenuhnya arahan yang telah ditetapkan, termasuk larangan menjual petrol Ron95 dan diesel bersubsidi kepada pembeli tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan Malaysia.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan tersebut,” tegasnya.