Kota Kinabalu: Ketua jurulatih Sabah FC Juan Torres Garrido (gambar) waspada dengan ancaman Perak FC pada aksi separuh akhir pertama Piala Cabaran yang akan berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Manjung malam ini (Rabu), jam 10 malam.
Garrido menyeru para pemain agar berhati-hati apabila turun menentang pasukan tuan rumah itu, yang mampu mencipta kejutan seperti yang mereka lakukan ketika menentang Kuala Lumpur FC dalam Piala Malaysia.
Perak FC sebelum ini menewaskan Kuala Lumpur FC 2-0 di laman sendiri pada pusingan pertama pembukaan Piala Malaysia sebelum tewas 3-0 pada aksi timbal balik selepas masa tambahan.
Mereka layak ke separuh akhir Piala Cabaran selepas menewaskan Damansara 4-3 dalam dua perlawanan.
“Kita tidak boleh memandang rendah Perak FC kerana mereka pasukan yang bagus dan kita boleh lihat bagaimana mereka menewaskan Kuala Lumpur FC di gelanggang sendiri sebelum ini.
“Jadi, ini akan menjadi perlawanan yang sukar buat kami dan pemain akan terus bekerja keras dalam latihan untuk memberikan persembahan terbaik mereka.
“Pemain yang berada di atas padang mesti membuat keputusan bijak dan merebut setiap peluang yang diberikan bagi memastikan kami pulang membawa kelebihan yang baik untuk perlawanan timbal balik di Likas,” katanya.
Garrido juga berkata mereka masih berusaha untuk meningkatkan tahap kecergasan dan konsistensi pemain dalam melaksanakan pelan permainannya.
“Ini penting kerana jika boleh, kami mahu terus menjadi pasukan yang boleh menjadi pesaing kuat kepada pasukan lain dalam setiap perlawanan,” tambahnya.