Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyambut baik komitmen Petronas untuk meneroka kerjasama lanjut bagi memperluas penyertaan Sabah dalam industri minyak dan gas.
Presiden Petronas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz memberi taklimat kepada beliau mengenai hala tuju kerjasama strategik serta status semasa operasi Petronas di negeri ini.
Tengku Muhammad turut memaklumkan kepada Ketua Menteri mengenai usaha bantuan banjir Petronas bagi menyokong usaha Kerajaan Negeri dalam membantu komuniti yang terjejas di Sabah baru-baru ini.
Delegasi Petronas turut disertai oleh Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Gas & Maritim Datuk Adif Zulkifli, Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) Datuk Bacho Pilong, Naib Presiden Hubungan Strategik & Komunikasi Kumpulan Ir. Norafizal Mat Saad serta pegawai-pegawai kanan Petronas.
Semasa kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman, Tengku Muhammad menegaskan komitmen Petronas untuk memperkukuh kerjasama strategik dengan Kerajaan Sabah dalam membangunkan industri tenaga negeri ini.
Beliau berkata kerjasama terbabit akan menyokong aspirasi Sabah untuk memajukan sektor tenaganya.
“Alhamdulillah, kami berpeluang memberi taklimat kepada (Yang di-Pertua Negeri) mengenai perkembangan terkini aktiviti Petronas di Sabah dan maklum balas yang diterima amat positif dengan seruan agar kerjasama ini terus diperkukuh,” katanya.
Tengku Muhammad berkata tujuan lawatan itu adalah untuk memaklumkan kepimpinan negeri mengenai perkembangan terkini aktiviti Petronas serta inisiatif bersama dengan Kerajaan Negeri termasuk usaha sama sedia ada dengan SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE).
“Kami juga menyentuh mengenai pencapaian dan prestasi usaha sama yang telah dilaksanakan bersama Kerajaan Sabah,” katanya.
Beliau menambah beberapa usaha sama baharu telah dikenal pasti dan akan direalisasikan dalam masa terdekat, berpandukan prinsip manfaat bersama atau situasi menang-menang.
Katanya, pembangunan wilayah timur Sabah kekal menjadi fokus utama kerjasama itu, dengan Petronas komited menyokong matlamat pembangunan industri Kerajaan Negeri.