Kota Kinabalu: Naib Presiden Parti Warisan Datuk Junz Wong menyuarakan sokongan penuh terhadap dewan perniagaan dan persatuan industri Sabah yang menggesa Kerajaan Negeri serta pihak berkuasa Sabah Ports supaya menggantung kenaikan baharu caj penyimpanan kontena di Terminal Kontena Sepanggar, sehingga isu kesesakan diselesaikan.
Junz berkata keputusan menaikkan caj penyimpanan kontena harian melebihi 100 peratus — daripada RM12 kepada RM30 bagi kontena 20 kaki dan daripada RM24 kepada RM60 bagi kontena 40 kaki — sukar diwajarkan selagi pengguna pelabuhan terus berdepan kelewatan dan kekangan operasi.
“Anda tidak boleh mengenakan caj pada kadar premium apabila kecekapan perkhidmatan masih belum mencapai tahap yang boleh diterima. Perniagaan pada hakikatnya diminta membayar lebih walaupun masih berdepan kesesakan dan ketidakpastian,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Aru itu berkata persatuan terbabit bukan menentang naik taraf pelabuhan atau penambahbaikan jangka panjang, sebaliknya menuntut pelaksanaan yang adil mengikut turutan sewajarnya.
“Warisan menyokong usaha peningkatan infrastruktur dan pemodenan. Namun, kenaikan caj seharusnya dibuat selepas terdapat peningkatan nyata dalam tempoh pusing ganti dan kecekapan pelepasan kargo — bukan didahulukan,” katanya.
Junz berkata caj penyimpanan memberi kesan tidak seimbang kepada pengimport apabila kelewatan berlaku di luar kawalan mereka.
“Apabila kontena tertangguh akibat kesesakan kawasan simpanan atau ketidakcekapan operasi, pedagang terpaksa menanggung caj penyimpanan lebih tinggi bagi keadaan yang bukan berpunca daripada mereka. Ini bukan sahaja tidak adil malah tidak munasabah dari segi ekonomi,” tambahnya.
Beliau berkata peningkatan kos logistik akhirnya akan dipindahkan kepada pengguna, sekali gus menambah tekanan kos sara hidup sedia ada di Sabah.
“Ini bukan lagi sekadar isu pengurusan pelabuhan. Ia isu periuk nasi rakyat. Peningkatan caj penyimpanan akan membawa kepada kenaikan harga barangan keperluan, khususnya bagi perusahaan kecil dan sederhana yang beroperasi dengan margin keuntungan kecil,” katanya.
Junz turut menggesa Kerajaan Negeri GRS dan pengurusan Sabah Ports Sdn Bhd supaya memberi keutamaan kepada usaha mengurangkan kesesakan serta melaksanakan sepenuhnya pelan tindakan sementara sebelum menguatkuasakan struktur tarif yang disemak semula.
“Sekurang-kurangnya, pelaksanaan itu perlu ditangguhkan sehingga peningkatan yang boleh diukur dicapai. Pihak berkepentingan perlu melihat hasil yang nyata terlebih dahulu. Hanya selepas itu sebarang semakan caj boleh dipertimbangkan secara munasabah,” katanya.
Beliau menegaskan sebagai pintu masuk maritim utama Sabah, prestasi operasi kemudahan Sepanggar mempunyai implikasi langsung terhadap daya saing dan kestabilan ekonomi negeri.
“Warisan bersama pemain industri dalam menggesa pendekatan yang praktikal dan adil. Kerajaan mesti memastikan dasar dilaksanakan mengikut turutan yang betul — kecekapan dahulu, caj kemudian,” katanya.
Beliau turut menggesa pihak berkuasa supaya berinteraksi secara telus dengan wakil industri bagi memulihkan keyakinan serta mengelakkan tekanan berterusan terhadap perniagaan dan pengguna.