SOOK: Semua pertubuhan Murut digesa mempertahankan martabat budaya dan bahasa Murut daripada sebarang bentuk eksploitasi yang tidak beretika.
Ia susulan penyebaran sebuah lagu berbahasa Murut yang dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan didakwa mengandungi unsur lucah.
Advertisement

Presiden Murut Bookan Sabah, Akinon Julius berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan kerana ia melibatkan maruah, warisan serta nilai budaya masyarakat Murut yang perlu dipelihara dan dihormati.
Menurut beliau, penyalahgunaan teknologi AI bagi menghasilkan kandungan tidak bermoral bukan sahaja melanggar norma sosial, malah berpotensi mencemarkan imej komuniti Murut serta menjejaskan sensitiviti budaya.
“Ruang digital tidak seharusnya disalahgunakan untuk menyebarkan kandungan yang bertentangan dengan nilai kesopanan dan tatasusila masyarakat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Murut Bookan Sabah menyatakan sokongan penuh terhadap gesaan Presiden Persatuan Etnik Murut Timugon Sabah supaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan terhadap penyebaran lagu berkenaan.
Akinon menegaskan tindakan sewajarnya perlu diambil selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada berkaitan komunikasi dan kandungan dalam talian sekiranya didapati berlaku pelanggaran.
Beliau berkata pihaknya menyokong agar MCMC menjalankan siasatan menyeluruh serta menggesa kandungan berunsur lucah disekat sekiranya terbukti melanggar undang-undang, di samping menyeru masyarakat agar lebih bertanggungjawab dalam penggunaan teknologi AI dan platform media sosial.
Beliau turut menekankan bahawa kebebasan bersuara perlu disertai tanggungjawab moral serta pematuhan kepada undang-undang, dan inovasi teknologi tidak boleh dijadikan alasan untuk menyebarkan kandungan yang bercanggah dengan nilai masyarakat.
Katanya, Murut Bookan Sabah komited untuk terus bekerjasama dengan pihak berkuasa serta pertubuhan berkaitan bagi memastikan warisan budaya Murut terus dipelihara secara bertanggungjawab.