KENINGAU: Cadangan pemberian biasiswa bagi menyokong pengajian bahasa etnik di Sabah wajar disokong sepenuhnya kerana usaha itu dilihat mampu memperkukuh pemeliharaan warisan budaya dan identiti masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor Yazid Mohd Hasnan Tawik @ Charles
(gambar) berkata inisiatif berkenaan merupakan langkah strategik dan berwawasan dalam memastikan bahasa ibunda etnik di Sabah terus dipelihara, diperkasa dan diwariskan kepada generasi muda.
Menurut beliau bahasa etnik bukan sekadar medium komunikasi malah menjadi lambang jati diri, sejarah serta nilai kehidupan masyarakat setempat yang perlu dipertahankan dalam arus pembangunan dan globalisasi masa kini.
“Cadangan pemberian biasiswa kepada pelajar yang melanjutkan pengajian dalam bidang bahasa etnik adalah sangat tepat pada masanya.
“Inisiatif ini mampu melahirkan lebih ramai tenaga pengajar, penyelidik dan penggiat bahasa yang berperanan memperkukuh pengajaran bahasa ibunda di sekolah serta institusi pengajian tinggi,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata tanpa sokongan tersusun termasuk bantuan pendidikan, bahasa-bahasa etnik berisiko terhakis sekiranya tidak dipelihara secara sistematik dan berterusan.
Yazid menyatakan usaha memperkasa pengajian bahasa etnik juga dapat membantu memperkaya bahan rujukan, dokumentasi serta penyelidikan linguistik tempatan sekali gus memartabatkan kepelbagaian budaya di Sabah.
Sehubungan itu beliau menggesa semua pihak termasuk agensi kerajaan, institusi pendidikan dan pertubuhan masyarakat supaya terus berganding bahu menyokong pelaksanaan cadangan berkenaan demi memastikan kelestarian bahasa etnik terus terpelihara.