LAHAD DATU: Polis menahan tiga lelaki atas kesalahan membabitkan dadah menerusi penahanan dalam Op Tapis yang dijalankan pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Dzulbaharin Ismail berkata dua lelaki ditahan selepas didapati memiliki bahan disyaki syabu seberat 0.25 gram dan 0.12 gram.
Beliau berkata kedua-dua lelaki terbabit turut didapati positif mengambil Amphetamine dan Methamphetamine.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Dalam pada itu menurut Dzulbaharin seorang lagi lelaki tempatan turut ditahan pada hari sama selepas ujian air kencingnya didapati positif dadah.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau berkata semua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut.
“Operasi ini mencerminkan komitmen Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dalam membanteras kegiatan jenayah melibatkan dadah di daerah ini,” tambahnya.