Sat, 4 Apr 2026
Headlines:
Penubuhan Konsulat India di Sabah permudah perdagangan dua hala
Published on: Tuesday, February 24, 2026
Published on: Tue, Feb 24, 2026
By: Hayati Dzulkifli
Text Size:
Text:
Penubuhan Konsulat India di Sabah permudah perdagangan dua hala
Menurut Jothi pihak DPIS mengulangi komitmen untuk menggalakkan penglibatan ekonomi yang bertanggungjawab, berteraskan akauntabiliti, keterangkuman dan kemakmuran bersama.
Kota Kinabalu: Presiden Dewan Perniagaan India Sabah (DPIS) Datuk V Jothi menyifatkan cadangan penubuhan Konsulat India di Sabah wajar dilihat sebagai satu platform pentadbiran untuk memudah cara perdagangan selain memperkukuh kerjasama ekonomi bukannya sebagai pemindahan kuasa. 

Beliau berkata kewujudan konsulat itu berpotensi mengurangkan kekangan urusan perniagaan serta menyokong peluasan hubungan komersial antara Sabah dan India dengan syarat kuasa kawal selia negeri serta keutamaan pekerjaan kepada rakyat tempatan kekal terpelihara.

Advertisement
“Masa depan Sabah bergantung kepada penggubalan dasar yang berhemah, pertimbangan seimbang dan tadbir urus yang telus.

“Dialog yang membina dan bukan polemik akan memastikan keputusan ekonomi dibuat demi kepentingan terbaik negeri dan rakyatnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Menurut beliau pihak DPIS mengulangi komitmen untuk menggalakkan penglibatan ekonomi yang bertanggungjawab, berteraskan akauntabiliti, keterangkuman dan kemakmuran bersama.

“Sebagai dewan yang mewakili pemegang taruh perniagaan di Sabah, kami percaya perbincangan seperti ini mesti berpandukan fakta, kejelasan dan komitmen terhadap kepentingan ekonomi jangka panjang buat Sabah.

Advertisement
“Kebimbangan awam mengenai peluang pekerjaan, kawalan sektor dan kemungkinan monopoli ekonomi adalah wajar dan perlu diberi perhatian serius.

“Rakyat Sabah berhak bertanya bagaimana sebarang perkembangan diplomatik atau ekonomi baharu akan memberi kesan kepada industri tempatan dan keselamatan pekerjaan. Soalan-soalan ini mencerminkan penglibatan sivik yang bertanggungjawab,” katanya.

Advertisement
Pada masa sama beliau menegaskan penting untuk menjelaskan fungsi sebenar sesebuah konsulat.

Beliau berkata konsulat pada asasnya menjalankan fungsi pentadbiran dan diplomatik seperti pemprosesan visa, perkhidmatan kepada warganegara, pengesahan dokumen serta memudah cara komunikasi perdagangan dan perniagaan.

“Ia tidak mengawal undang-undang pekerjaan Malaysia, tidak memberi permit kerja, tidak menganugerahkan kontrak negeri atau mengatasi kuasa kawal selia Sabah.

“Semua perkara berkaitan peraturan buruh, pelesenan perniagaan dan perolehan kekal di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri,” jelasnya.

Beliau menekankan hubungan ekonomi antara Malaysia dan India kekal kukuh serta bersejarah dengan nilai perdagangan dua hala dianggarkan antara USD18 bilion hingga USD20 bilion setahun.

Katanya Sabah menyumbang secara signifikan dalam sektor yang berkaitan dengan hubungan ini khususnya minyak sawit, produk berasaskan pertanian, logistik dan rantaian bekalan manakala India merupakan antara pasaran terbesar minyak sawit Malaysia.

“Bagi Sabah sebagai antara negeri pengeluar utama minyak sawit negara, akses stabil ke pasaran besar seperti India memberi kepastian eksport.

“Selain itu kerjasama yang diperluas dalam sektor penjagaan kesihatan dan farmaseutikal boleh meningkatkan kecekapan rantaian bekalan khususnya memberi manfaat kepada komuniti luar bandar manakala kerjasama baharu dalam tenaga boleh diperbaharui, perdagangan digital serta pembangunan kemahiran membuka peluang pekerjaan bernilai tinggi,” katanya.

Bagaimanapun beliau menegaskan peluang ekonomi mesti disertai langkah perlindungan yang sesuai.

Antara cadangan dikemukakan DPIS ialah:

Keutamaan pekerjaan kepada rakyat Sabah bagi semua pelaburan yang difasilitasi kerajaan negeri.

Komponen pemindahan kemahiran dan latihan tenaga kerja secara mandatori.

Proses perolehan telus serta sistem tender terbuka.

Pendedahan pemilikan benefisial syarikat yang terlibat dan Pelaporan berkala kepada umum mengenai hasil perdagangan, pelaburan serta peluang pekerjaan.

“Dengan perlindungan ini kerjasama ekonomi akan memperkukuh Sabah, bukan melemahkannya,” katanya.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here