RANAU: Dua lelaki tempatan ditahan dalam dua serbuan berasingan di Kampung Bongkud pada Sabtu kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penjualan serta penyimpanan ketum dengan nilai rampasan dianggarkan mencecah ratusan ringgit.
Ketua Polis Daerah Ranau Supt Mursalin Mahmud berkata operasi bermula kira-kira jam 2 petang pada 22 Februari apabila sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan.
“Hasil pemeriksaan di lokasi menemui satu guni diletakkan di bahagian hadapan rumah. Pemeriksaan lanjut mendapati guni tersebut mengandungi daun ketum seberat kira-kira 1.4 kilogram yang dianggarkan bernilai RM120.
“Lelaki berusia 37 tahun yang berada di premis itu telah ditahan dan semakan rekod mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau,” katanya.
Menurut beliau kira-kira jam 3 petang pada hari sama polis menjalankan serbuan kedua di lokasi berbeza dalam kampung tersebut.
“Seorang lelaki berusia 49 tahun ditahan selepas polis menemui 18 botol berisipadu 1.5 liter setiap satu yang disyaki mengandungi air ketum disimpan di dalam peti sejuk di bilik tidur rumah berkenaan.
“Setiap botol dipercayai dijual pada harga RM30 menjadikan anggaran nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM540. Bagaimanapun suspek kedua didapati tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” tambahnya.
Operasi tersebut diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Ranau Insp Abdul Fatah Qasim.
Dalam pada itu Mursalin berkata pengambilan air ketum merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Beliau menegaskan bahawa pihak polis akan terus mempergiatkan operasi dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan berkaitan ketum serta memastikan kesejahteraan daerah Ranau terus terpelihara.