PEMPENGARUH Agy
(gambar) kembali memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini menerusi single raya terbaharu berjudul Lala Raya.
Lala Raya merupakan sebuah lagu pop moden berunsur trap yang meraikan suasana Hari Raya dengan meriah dan bergaya.
Menurut Agy raya bukan sekadar trend atau estetika tetapi ia sentiasa berkaitan tentang keluarga.
Dari OOTD ke FYP, balang kuih ke sampul duit raya Lala Raya menggambarkan realiti generasi masa kini yang menyambut Syawal dalam era media sosial.
Hook yang mudah melekat seperti “Raya Raya Raya... I sudah ready berbaju raya” bukan sahaja catchy malah menggambarkan keterujaan menjelang 1 Syawal.
Di sebalik muzik ceria dan tenaga yang positif lagu berkenaan sebenarnya diinspirasikan oleh pengalaman peribadi Agy bersama keluarganya.
Agy menjelaskan bahawa Lala Raya bukan sekadar lagu untuk dimainkan ketika rumah terbuka tetapi sebuah refleksi tentang perjalanan dirinya bersama keluarga.
“Saya membesar dengan Hari Raya yang penuh dengan suara, gelak tawa dan kekecohan keluarga.
“Bila buat lagu ni saya nak orang rasa vibe yang sama.
“Media sosial mungkin sebahagian daripada hidup kita sekarang tetapi yang paling penting tetap bila kita duduk sama-sama, makan bersama dan meraikan hari kemenangan umat Islam dengan keluarga tercinta,” katanya.
Menurutnya lagi Lala Raya mengangkat persoalan halus tentang bagaimana sambutan boleh menjadi performatif dalam era digital tetapi pada masa sama mengingatkan bahawa inti sebenar Hari Raya tetap terletak pada keluarga, bukan apa yang dipamerkan tetapi siapa yang ada di sisi kita.
Muzik video rasmi Lala Raya pula mengambil pendekatan visual yang stylish dan minimal berinspirasikan dunia editorial serta susunan komposisi klasik.
Ruang yang dikawal rapi dan posisi tubuh yang tersusun seperti grid media sosial menggambarkan bagaimana Aidilfitri hari ini sering dilihat sebagai sesuatu yang perlu dipamerkan.
Dalam babak-babak awal, watak-watak kelihatan dekat secara fizikal tetapi berjarak secara emosi seolah-olah setiap momen dirancang untuk dilihat bukan dirasai.
Namun apabila muzik semakin meningkat, susunan itu mula berubah. Gerakan menjadi lebih bebas, interaksi lebih jujur dan kekacauan terhasil bukan lagi untuk tontonan tetapi sebagai tanda kehadiran sebenar.
Babak makan bersama dan pertemuan keluarga divisualkan secara sinematik menekankan bahawa walau bagaimana pun Hari Raya berubah namunkeluarga tetap menjadi pusatnya.
Dengan gabungan melodi yang mudah diikuti, lirik yang memiliki maksud mendalam dan visual yang berani secara artistik Lala Raya menawarkan sesuatu yang segar untuk musim perayaan 2026.
Lala Raya kini boleh didengari di semua platform penstriman digital termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music. Muzik video rasmi juga sudah dilancarkan pada 20 Februari lalu bersempena Ramadan ke 2.