Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah memperhebat operasi pemindahan dan penyaluran bantuan kepada mangsa banjir di beberapa daerah terjejas bencana itu susulan hujan berterusan sejak Khamis.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata semua agensi keselamatan dan jabatan berkaitan telah digerakkan bagi memastikan operasi menyelamat serta pemindahan penduduk ke pusat pemindahan sementara (PPS) dapat dilakukan dengan pantas serta teratur.
“Saya merakamkan rasa simpati yang mendalam kepada semua mangsa terjejas. Keselamatan rakyat menjadi keutamaan kerajaan negeri.
“Kerajaan negeri sedang dan akan terus memantau keadaan semasa bagi memastikan bantuan disampaikan dengan cepat dan berkesan,” katanya menerusi hantaran Facebook, Jumaat.

Hajiji menggesa semua penduduk di daerah dilanda banjir serta kawasan berhampiran sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa, tidak mengambil sebarang risiko dan mengutamakan keselamatan diri serta keluarga.
“Dalam Ramadan penuh rahmat, marilah kita saling mendoakan dan menghulur bantuan mengikut kemampuan. Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan, ketabahan dan perlindungan kepada semua yang sedang diuji,” katanya.
Terdahulu, daerah Kota Marudu, Pitas dan Paitan diisytihar banjir pada 6 pagi Jumaat ekoran hujan berterusan sejak Khamis, dengan beberapa PPS telah beroperasi bagi menempatkan mangsa.
Di SANDAKAN, hujan lebat berterusan sejak malam Khamis telah mengakibatkan beberapa kawasan dilanda banjir, kejadian pokok tumbang serta beberapa jalan utama dinaiki air.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Sandakan telah menjalankan pemantauan dan tindakan segera di lokasi terjejas.
Kejadian pokok tumbang dilaporkan di SK St Monica, Bandar Sandakan, Taman Mutiara dan Batu Sapi.
Keadaan banjir teruk menjejaskan Kampung Pangiran, Taman Fajar, Kampung Obar, Taman Merpati, Taman Bahagia, Batu 8, Batu 9 dan Batu 12 sekitar kawasan Hospital Duchess of Kent.
Selain itu, beberapa jalan turut dilaporkan dinaiki air antaranya Jalan Batu 7, Taman Nuri, Taman Fajar Lama, Jalan Mahkamah, Jalan Batu 8, Jalan Batu 9, kawasan Petronas Batu 6 serta Jalan Perhutanan.
Dalam pada itu, pihak berkuasa turut memindahkan mangsa banjir yang terperangkap di rumah mereka ke tempat yang selamat.
Selain daerah, banjir kilat turut dilaporkan di beberapa tempat di Telupid dan Paitan.
Jabatan Meteorologi Malaysia turut melaporkan ribut petir dan hujan berterusan bagi Sandakan bermula 20 Februari sehingga 23 Februari ini.
Di PAITAN, daerah itu diisytiharkan sebagai kawasan bencana banjir berikutan peningkatan paras air yang menjejaskan beberapa kawasan hotspot sejak awal pagi Jumaat.
Pengisytiharan itu dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Paitan susulan laporan lapangan daripada agensi tindak balas yang mengesahkan beberapa lokasi mula terjejas teruk akibat hujan berterusan.
Pegawai Daerah Paitan, Joloning Joe Majambu, memaklumkan bahawa status bencana berkuat kuasa jam 6 pagi bagi membolehkan tindakan kecemasan serta bantuan segera digerakkan kepada penduduk terlibat.
Menurut beliau, pemantauan rapi sedang dijalankan di kawasan berisiko tinggi, manakala agensi berkaitan telah bersiap siaga bagi proses pemindahan dan penyelarasan bantuan sekiranya keadaan banjir bertambah buruk.
Sementara itu, netizen turut memuatnaik beberapa perkongsian video dan gambar keadaan terkini di Paitan, termasuk di kawasan Pekan Paitan.
Berdasarkan video dikongsikan, kawasan bangunan Pasar Nelayan, Daerah Kecil Paitan sudah dilimpahi banjir. Lebih lapan kenderaan penduduk turut tenggelam dan penduduk dilihat memantau keadaan dengan menaiki perahu.
Di KUNAK, paras air sungai berdekatan Kg Sg Langgas dan Kg Sg Atas masih di tahap sederhana dan tidak menunjukkan kenaikan ketara meskipun hujan berterusan sejak Khamis. Namun penduduk yang tinggal berhampiran sungai dinasihat agar sentiasa berwaspada berikutan hujan masih turun.
Pegawai Daerah Kunak, Majaran Osman ketika dihubungi berkata pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai kejadian banjir di mana-mana kawasan kampung atau kediaman di daerah itu.
“Bagaimanapun, penduduk yang tinggal berdekatan sungai mesti mengambil langkah berhati-hati semasa musim hujan,” katanya.
Tinjauan Daily Express di kawasan Kg Sg Langgas mendapati paras air sungai di situ masih di tahap rendah dan tidak menunjukkan peningkatan ketara. Kawasan tersebut sebelum ini pernah mengalami banjir yang menyebabkan kediaman penduduk sekitar dinaiki air.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga telah memasang Stesen Siren Amaran Awal Banjir di Kg Sg Langgas bagi mengesan kenaikan paras air secara automatik.
Sistem itu dilengkapi pembesar suara akustik mempunyai penanda amaran yang berfungsi berdasarkan pemantauan telemetri masa nyata bagi mengesan paras air sungai di kawasan berisiko.
Ia berbunyi untuk memberi isyarat – tahap amaran (oren) atau bahaya (merah) – kepada penduduk berdekatan.