Tenom: Kerajaan negeri melalui Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (Maffi) akan memulakan pembinaan sebuah pusat pemprosesan hasil pertanian bernilai RM1.2 juta di sini, pada Jun.
Menteri Maffi, Datuk Jamawi Jaafar berkata projek itu merupakan usaha berterusan kerajaan negeri untuk memperkukuh sektor pertanian luar bandar serta meningkatkan daya saing produk tempatan.
Beliau berkata pusat berkenaan dijangka menjadi inisiatif penting dalam meningkatkan nilai tambah hasil pertanian yang diusahakan oleh petani tempatan.
“Kemudahan itu akan dilengkapi pelbagai peralatan moden bagi membolehkan petani memproses hasil yang tidak dapat dijual secara terus di pasaran.
“Langkah ini bukan sahaja mengurangkan pembaziran hasil pertanian, malah memberi peluang kepada petani menghasilkan produk baharu seperti makanan kering dan produk sedia dimakan,” katanya ketika ditemui sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Malleh Square, di sini.
Hadir sama, Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin.
Jamawi, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Melalap, menjelaskan pusat pemprosesan itu bakal memberi nilai tambah kepada rantaian bekalan makanan tempatan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan pembinaan Pusat Pengumpulan Hasil Tani (APCC) kini telah mencapai tahap 80 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada April ini. APCC akan berfungsi sebagai pusat pengumpulan utama hasil pertanian di kawasan berkenaan.
Beliau yakin kedua-dua kemudahan itu akan saling melengkapi dalam memperkukuh sistem pengumpulan, pemprosesan dan pemasaran hasil pertanian, sekali gus meningkatkan pendapatan serta kesejahteraan petani di daerah ini.