Kota Kinabalu: Menteri Kewangan Negeri Datuk Seri Masidi Manjun menyeru kerjasama lebih kukuh antara agensi kerajaan dan Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC) bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan kewangan serta membina ekosistem kewangan yang lebih teguh dan mampan di Sabah.
Beliau berkata kerjasama antara agensi yang lebih erat akan membolehkan penyelesaian kewangan disepadukan dengan lebih baik ke dalam inisiatif pembangunan dan program sosioekonomi, sekali gus memastikan impak yang lebih meluas dan inklusif kepada rakyat Sabah.
Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Datuk Mohd Ishak Ayub pada Majlis Makan Malam Penghargaan Rakan Perniagaan SCC yang diadakan di sini, pada Jumaat.
Masidi berkata prestasi berterusan SCC membuktikan kepentingan perkongsian strategik antara institusi awam, sektor swasta dan agensi kerajaan yang bekerjasama ke arah objektif bersama.
“Ia menunjukkan apa yang boleh dicapai apabila semua pihak bekerjasama dengan visi dan matlamat yang sama,” katanya.
Beliau menegaskan SCC perlu menjadi penanda aras kecemerlangan institusi berasaskan pengurusan kewangan yang mantap, kepimpinan kukuh dan tadbir urus yang baik.
Sementara itu, SCC merekodkan keuntungan sebelum cukai (belum diaudit) sebanyak RM134.5 juta pada 2025, meningkat RM17.5 juta berbanding tahun sebelumnya, dengan jumlah aset berkembang kepada RM4.03 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif Datuk George Taitim Tulas berkata syarikat itu meluluskan pinjaman berjumlah RM1.667 bilion tahun lalu, dengan RM1.03 bilion disalurkan kepada 27,524 pelanggan merangkumi portfolio peribadi, komersial, sosioekonomi dan pembangunan usahawan termasuk projek kerajaan.
Sejak 2024, SCC telah menyalurkan RM512.84 juta bagi membiayai 6,394 pembangunan perumahan dan kerja kontrak, termasuk RM312 juta untuk 4,021 rumah SMJ Rumah Mesra dan RM39.22 juta untuk 1,014 rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
Sebanyak RM160.79 juta lagi disalurkan kepada kontraktor kecil Kelas F yang melaksanakan projek Kerajaan Negeri.
George berkata teknologi dan transformasi digital kekal sebagai teras strategi pertumbuhan SCC.
Sabah Pay, platform pemungutan hasil kerajaan berpusat yang menghubungkan lebih 52 agensi, setakat ini telah mengutip RM120 juta untuk negeri.
Platform rakyat SCC, Yono, kini mempunyai 74,428 pengguna aktif dan 600 peniaga, menyokong lebih 25 aplikasi mini dengan integrasi DuitNow, eKYC dipertingkat serta kemudahan e-dompet.
Beliau berkata SCC mengekalkan asas kewangan kukuh dengan penarafan dikekalkan pada AA1, P1 dan nisbah Pinjaman Tidak Berbayar Kasar (GNPL) sebanyak 1.96 peratus, disokong nisbah perlindungan 130.48 peratus.
“Melalui program Sukuknya, SCC mengurus pelaburan berjumlah RM2.49 bilion.
“Modal saham dan rizab meningkat RM83 juta kepada RM995 juta pada 2025 dan dijangka melepasi paras RM1 bilion lebih awal daripada sasaran 2027,” katanya.
Dengan keputusan positif itu, SCC menyumbang RM1.78 juta zakat, RM143.81 juta bayaran faedah pinjaman kerajaan dan RM367.38 juta dividen termasuk kredit cukai, manakala RM83.9 juta disalurkan kepada 900 projek tanggungjawab sosial korporat di seluruh negeri.
George berkata SCC merancang untuk mengembangkan perkhidmatan ke dalam amanah saham, Ar-Rahnu, pendanaan awam, pinjaman digital serta memohon lesen e-wang sendiri daripada Bank Negara Malaysia bagi memperkukuh keterangkuman kewangan dan menyokong PKS tempatan.