SOOK: Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) menggesa agar segala bentuk bantuan kepada keluarga kanak-kanak enam tahun Avy Amber yang maut dalam kebakaran di Tambunan pada 10 Februari lalu disegerakan bagi meringankan beban mereka.
Pembantu Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tulid Jordan Jude Ellron Angin berkata kementeriannya memandang serius insiden berkenaan dan berharap proses penyaluran bantuan dapat dipercepat tanpa sebarang kelewatan.
“Kementerian telah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan semua bantuan berkaitan kebakaran di Tambunan akan disegerakan secepat mungkin,” katanya ketika berucap selepas merasmikan majlis penutupan Program TVET Outreach to Villages bagi Zon Keningau di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tulid.
Jordan menyifatkan tragedi yang meragut nyawa seorang murid itu sebagai amat menyedihkan serta memberi kesan mendalam kepada keluarga serta komuniti setempat.
Beliau menambah semua agensi berkaitan sedang bekerjasama bagi memastikan bantuan kebajikan, sokongan psikososial serta keperluan asas untuk keluarga terjejas disalurkan dengan segera dan teratur.
Menurutnya Kerajaan Negeri komited membantu mereka yang terkesan akibat bencana dan memberi jaminan bahawa keluarga mangsa tidak akan dibiarkan menghadapi kesukaran bersendirian.
Jordan turut merakamkan ucapan takziah serta mendoakan agar keluarga berkenaan diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan tersebut.