Kota Kinabalu: Polis menumpaskan sebuah sindiket pengedaran dadah utama dengan rampasan 537.804 kilogram pelbagai jenis dadah bernilai RM69.6 juta serta penahanan empat individu tempatan dalam siri operasi di Penampang menerusi Op Bayu 2.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata operasi itu dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah susulan risikan berkaitan aktiviti pengedaran dadah.
Advertisement

Tangkapan pertama dibuat kira-kira jam 5.45 pagi pada 5 Feb di kawasan parkir aras bawah T1 Bundusan, Penampang, apabila dua lelaki tempatan ditahan selepas cuba melarikan diri menggunakan kenderaan pacuan empat roda berwarna putih.
Pemeriksaan terhadap kenderaan itu menemukan tiga kotak berwarna coklat mengandungi 20 bungkusan setiap satu berisi bahan kristal disyaki syabu seberat kira-kira 101.7 kilogram bernilai RM5.66 juta.
Susulan tangkapan itu, polis menjalankan beberapa operasi susulan di beberapa lokasi di Penampang dan Kota Kinabalu termasuk Millennium Heights, Forest Hill Residences dan Taman Seri Rasa, Luyang.
Pemeriksaan lanjut menemukan sejumlah besar dadah termasuk syabu, serbuk ekstasi, pil ekstasi, ketamin dan Eramin 5, selain mesin pengedap dan penimbang yang dipercayai digunakan untuk pembungkusan semula dadah.
Beliau berkata jumlah keseluruhan rampasan melibatkan 111.3 kilogram syabu, 419.62 kilogram serbuk ekstasi, 6.787 kilogram pil ekstasi, 71.03 gram ketamin dan 25.62 gram Eramin 5 dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM69,659,206.
Polis berkata dadah yang dirampas mampu membekalkan lebih 339,000 penagih bagi satu penggunaan.
“Empat suspek, termasuk tiga lelaki dan seorang wanita, disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan,” katanya pada sidang media di IPK Sabah di sini, Jumaat.
Ujian saringan air kencing awal mendapati tiga suspek positif dadah. Polis turut merampas beberapa kenderaan, telefon bimbit dan wang tunai yang dipercayai berkaitan kegiatan pengedaran itu.
Mohd Khalid berkata kejayaan itu hasil usaha risikan berterusan serta kerjasama orang awam.
“PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah. Dadah kekal sebagai musuh nombor satu negara,” katanya, sambil menggesa orang ramai menyalurkan maklumat melalui talian hotline JSJN di 012-208 7222.