PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menyambut baik inisiatif mana-mana negeri untuk mempunyai dasar ekonomi kreatifnya sendiri.
Pengerusi Finas Datuk Hans Isaac berkata dari sudut Sabah, beliau percaya negeri ini harus mempunyai dan mengukuhkan ekosistemnya sendiri dalam industri seni kreatif.
“Finas sekarang sedang dalam pelaksanaan bagi meningkatkan dasar filem negara. Setiap negeri pun boleh ada dasar mereka sendiri.
“Saya rasa itu sangat bagus kerana kadang-kadang kita terlalu mengharapkan Finas dan industri kreatif di peringkat persekutuan sahaja.

“Kadang-kadang kerajaan negeri juga perlu mempunyai pakej atau mungkin inisiatif mereka sendiri (untuk membangunkan industri kreatif di peringkat negeri).
“Di mana-mana negara di luar Malaysia sekali pun, kalau anda buat penggambaran di New Zealand, misalnya di kawasan selatan atau utara negara itu pun ada perbezaannya (dari segi dasar). Mungkin dalam bentuk rebat cukai atau insentif penggambaran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Bengkel Autopsi Persediaan ke Sesi Pitching 2026 & Sesi Libat Urus Industri Kreatif di Sabah di Pacific Sutera, Kota Kinabalu pada Khamis.
Beliau diminta mengulas mengenai pewujudan kementerian khusus bagi menguruskan pembangunan ekonomi kreatif di Sabah di bawah Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif.
Hans turut memuji dasar Sabah yang tidak mengenakan duti hiburan bagi jualan tiket pawagam.
“Inilah keunikan negeri ini. Sabah satu-satunya negeri di Malaysia yang tidak mengenakan duti hiburan.
“Saya harap negeri-negeri lain di negara ini akan ikut cara Sabah,” katanya.
Sementara itu, Hans berkata Sabah berpotensi menjadi hab industri kreatif baharu negara ekoran kekayaan alam semula jadi dan seni budayanya.
“Di Sabah, ada laut, gunung, bandar serta banyak budaya etnik yang menakjubkan. Begitu juga dengan warisan sejarahnya.
“Jadi Sabah sentiasa ada potensi yang sangat bagus cuma bagaimana kita boleh mengetengahkan dan menjenamakan kelebihan ini. Ini adalah sesuatu yang Finas sedang usahakan menerusi latihan dan juga dana.
“Sekarang Finas sudah ada dana khas untuk penggiat seni kreatif Sabah dan Sarawak. Mereka juga tidak perlu lagi ke Semenanjung untuk membuat pitching dana.
“Sekarang kita ‘reverse’ perkara itu dengan Finas yang datang ke sini, jadi penggiat seni tidak perlu lagi menanggung sendiri tambang penerbangan, hotel, makan dan sebagainya,” katanya sambil menambah, dengan pelaksanaan Akta Finas 1981 (Akta 244), ia akan membantu semua industri kreatif termasuk di Sabah secara holistik.
Sementara itu, Ahli Perbadanan Finas Rozaidi Abdul Jamil atau Zed Zaidi berkata Finas ketika ini dalam proses mewujudkan sebuah rangka kerja kebajikan untuk penggiat seni di negara ini secara sistematik menerusi pangkalan data Peningkatan Kapasiti Kreatif Malaysia (MyCAP).
Katanya, sistem ini akan berfungsi untuk mengiktiraf dan mengumpul data penggiat seni yang pernah menerima sumbangan daripada Finas.
“Apabila data-data ini lengkap, kita akan dapat tahu penggiat seni yang pernah menerima sumbangan daripada Finas.
“Kita juga boleh memperluaskan bantuan kepada penggiat seni yang memerlukan dan kita tahu mereka ini bukan sahaja susah tetapi ada juga yang sakit.
“Dalam masa sama, Finas akan merujuk kepada Pusat Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (Gafema) untuk mendapatkan maklumat mengenai mereka yang memerlukan.
“Di Sabah, kita akan berurusan dengan Persatuan Filem dan Visual Sabah (Safva) selaku ahli Jawatankuasa Gafema yang mewakili Sabah,” katanya.
Setakat ini, Zed berkata kira-kira 400 penggiat seni di seluruh negara termasuk lebih 20 di Sabah telah menerima bantuan Finas menerusi Ziarah Seni Madani dalam usaha meringankan beban mereka.
Pada majlis itu, Hans turut menyampaikan sumbangan kepada penggiat seni tempatan, Jaipin Leggau.