TONGOD: Kerja-kerja pembinaan Kompleks Sukan Tongod di sini akan disiapkan selepas ia terbengkalai dan gagal disiapkan oleh pihak pemaju yang dilantik pada tahun 2019.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata, kontrak syarikat pemaju yang gagal menyiapkan kerja-kerja tersebut juga sudah ditamatkan.
“Kita mahu kompleks sukan ini siap dengan sebaiknya untuk kemudahan penduduk di sini,” ujarnya.
“Untuk itu, kita juga akan mengadakan mesyuarat tertinggi di peringkat kementerian bersama agensi terlibat dalam mencari penyelesaian kepada isu ini,” tambahnya.
Sehubungan itu, tempoh pelaksanaan pembinaan kompleks sukan dengan peruntukan kerajaan negeri itu juga akan dilihat lanjut.
Sementara pelantikan pemaju yang sesuai juga akan dikenalpasti dalam memastikan ia benar-benar siap sebaik mungkin.
Beliau berkata demikian pada sidang media sejurus melakukan lawatan kerja ke tapak kompleks sukan Tongod dan Arena Belia di Pejabat Belia dan Sukan Tongod, di sini pada Rabu.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Kuamut, Datuk Masiung Banah, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Anna Bell @ Suzieana Persian dan pegawai agensi terlibat.
Dalam pada itu, Nizam merakam penghargaan kepada Masiung yang membawa suara rakyat dengan mengemukakan isu kompleks sukan ini ke Dewan Undangan Negeri.
Pada sidang media sama, Masiung turut merakam penghargaan atas lawatan menteri itu ke sini dengan melihat sendiri isu tersebut.
“Seperti kita sedia maklum, kemudahan kompleks sukan ini amat dinanti-nantikan rakyat di sini,” tambahnya.
Justeru, pihaknya berharap ada penyelesaian tuntas dan kemudahan itu dapat direalisasi agar penduduk Tongod atau kawasan Kuamut khasnya golongan belia dapat menggunakan kemudahan sukan itu dengan sebaiknya kelak.