TAWAU: Seorang lelaki berumur 25 tahun terbunuh dalam kemalangan di Jalan Tawau-Bombalai, berhampiran Bulatan Jambatan Putih, di sini, kira-kira jam 3.14 petang Selasa.
Mangsa yang menunggang sebuah motosikal jenis moped, dilaporkan terkena tayar kanan belakang sebuah lori kuari yang dipandu seorang lelaki berumur 34 tahun.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau Supt Champin Piuh berkata lelaki itu dalam perjalanan dari Felda Umas ke arah pusat bandar, sementara lori terbabit pula menuju Gudang Empat dari sebuah kuari di Batu 9 Jalan Apas.
“Hasil siasatan awal menunjukkan selepas melepasi Bulatan Jambatan Putih, pemandu lori meneruskan perjalanan memasuki Jalan Tawau-Bombalai dengan keadaan jalan yang basah akibat hujan renyai-renyai.
“Motosikal terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas sehingga memasuki jalan bertentangan,” katanya di sini, Rabu.
Champin berkata impak menyebabkan penunggang motosikal tercampak ke laluan bertentangan hingga terkena tayar belakang lori kuari terbabit dan mengalami kecederaan parah.
“Pemandu lori itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya, menambah siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau turut mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati memandu, terutamanya ketika jalan licin akibat hujan, dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.