Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (Maffi) akan melancarkan Inisiatif Kebun Dapur pada 15 Februari ini dengan menyasarkan penyertaan 5,000 Ketua Isi Rumah (KIR) di seluruh negeri.
Menterinya Datuk Jamawi Jaafar berkata inisiatif berkenaan, yang akan dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor di Padang Istiadat, Tuaran, merupakan usaha kerajaan bagi menangani kos sara hidup rakyat serta memperkasa ekonomi isi rumah menerusi pengeluaran makanan sendiri di peringkat komuniti.
“Inisiatif ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran rakyat Sabah untuk memanfaatkan ruang di sekeliling rumah bagi aktiviti bercucuk tanam dan memelihara ternakan seperti ayam, itik atau ikan sekiranya mempunyai ruang.
“Kami menyasarkan penyertaan 5,000 KIR di seluruh negeri tahun ini, namun penglibatan rakyat dijangka melebihi sasaran ditetapkan,” katanya ketika ditemubual dalam segmen Morning Kinabalu bersama DJ Felix dan DeeDee di Konti Kupi Kupi FM 96.3, di sini pada Khamis.
Menurut Jamawi, Inisiatif Kebun Dapur dilaksanakan di bawah program Revolusi Ekonomi Pertanian Luar Bandar (RAER) dengan memanfaatkan halaman rumah, kawasan lapang serta bekas terpakai bagi aktiviti pertanian berskala kecil.
“Kebun Dapur merangkumi sub-sektor tanaman, perikanan dan ternakan, selain menggalakkan penggunaan teknologi pertanian moden bagi meningkatkan pengeluaran hasil pertanian serta keterjaminan makanan,” katanya.
Beliau menjelaskan, pelaksanaan inisiatif itu mengambil kira pelbagai keadaan kediaman rakyat dengan penyediaan beberapa model kebun dapur yang bersesuaian, sama ada bagi rumah yang mempunyai ruang terhad mahupun kawasan yang lebih luas dan akan dilaksanakan secara berterusan sepanjang tahun ini.
Jamawi berkata kerajaan negeri turut merancang penganjuran jelajah ke semua kawasan Parlimen di Sabah bagi mempromosikan inisiatif berkenaan serta memudahkan rakyat mendapatkan bahan tanaman dan ternakan melalui agensi berkaitan.
“Agensi seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan, Ko-Nelayan, Safma dan Lembaga Industri Getah bukan sahaja terlibat dalam penjualan input pertanian, malah memberi tunjuk ajar secara langsung kepada rakyat mengenai kaedah penanaman dan penternakan,” katanya.
Tambah beliau, pendekatan rantaian lengkap itu di yakini dapat membantu meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) negeri Sabah sekali gus memperkukuh keterjaminan makanan dan pertumbuhan ekonomi negeri Sabah secara mampan.
Hadir sama, isteri Jamawi Datin Zainatunnisa Ibrahim serta Ketua Penolong Setiausaha Kanan Maffi Shariffah Aznoor Jap.