TAMBUNAN: Sebuah tragedi memilukan berlaku di Kampung Patau pada awal pagi Selasa apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun ditemui rentung dalam kebakaran yang memusnahkan dua buah rumah serta tiga buah kenderaan.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 4:08 pagi.
Susulan maklumat itu, seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan yang diketuai oleh Komander Operasi Tony Sipin dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 16 kilometer dari balai.
Apabila tiba di lokasi pada jam 4.26 pagi, api didapati sedang marak memusnahkan dua rumah jenis separuh kekal. Rumah pertama dilaporkan musnah sepenuhnya manakala rumah kedua mengalami kerosakan sebanyak 90 peratus.
Kebakaran turut melibatkan tiga kenderaan iaitu sebuah Toyota Avanza, sebuah van dan sebuah Perodua Alza yang kesemuanya hangus 100 peratus.
Dalam operasi penggeledahan yang dilakukan, anggota bomba menemui mayat seorang kanak-kanak perempuan di dalam salah sebuah bilik dalam keadaan rentung.
Mangsa yang merupakan warganegara itu kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Selain itu, seorang lagi mangsa wanita berusia 31 tahun mengalami kecederaan semasa cuba menyelamatkan diri. Mangsa diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital berdekatan menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan.
Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan tiga pancutan, yang mana sumber air diperoleh daripada tangki jentera dan pili bomba berhampiran.
Kawalan api berjaya dilakukan pada jam 4.40 pagi manakala operasi tamat sepenuhnya pada jam 7 pagi setelah pihak bomba memastikan tiada lagi punca api atau bahaya lain di lokasi kejadian.
Operasi turut dipantau oleh Komander Operasi Kanan Mitchell Francis George dan melibatkan kerjasama daripada agensi bantuan seperti PDRM dan KKM bagi memastikan pengurusan mangsa dan lokasi berjalan lancar.