Tuaran: Seorang penunggang motosikal maut digilis sebuah lori dalam kemalangan di Jalan Tuaran Bypass berhampiran hospital Tuaran di sini, petang Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, Sallahuddin Basrun, 45, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian anggota badan.
Ketua Polis Daerah Tuaran Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah kenderaan lori dan motosikal.
“Siasatan awal mendapati lori yang dipandu mengubah haluan dari lorong kanan ke lorong kiri untuk memberi laluan kepada ambulan.
“Bagaimanapun, semasa memberi laluan, sebuah motosikal cuba memintas dan berlaku pergeseran terhadap kenderaan lori berkenaan,
“Akibatnya penunggang motosikal berkenaan terjatuh ke bawah lori dan digilis pada bahagian perut,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Noraidin, penunggang itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan kes diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Noraidin berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
“Orang awam juga dinasihatkan supaya sentiasa memandu secara berhemah dan mematuhi peraturan jalan raya bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya,” tambahnya.