Sat, 4 Apr 2026
Headlines:
Siasatan isu penginapan di Semporna: Dakwaan bahawa 81 premis dikendalikan oleh syarikat dan individu asing
Published on: Monday, February 09, 2026
Published on: Mon, Feb 09, 2026
By: Hayati Dzulkifli
Text Size:
Text:
Siasatan isu penginapan di Semporna: Dakwaan bahawa 81 premis dikendalikan oleh syarikat dan individu asing
Jafry berkata penilaian perlu dilaksanakan kerana pembangunan pelancongan mesti mengimbangi pelaburan asing dengan penyertaan tempatan.
Kota Kinabalu: Pasukan Petugas Khas mengenai Pemantauan Industri Pelancongan Semporna yang ditubuhkan dua bulan lalu akan meneliti kebimbangan berkaitan isu pelancongan, termasuk dakwaan bahawa 81 premis penginapan di destinasi selam bertaraf dunia itu dikendalikan oleh syarikat atau individu asing.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata penilaian perlu dilaksanakan kerana pembangunan pelancongan mesti mengimbangi pelaburan asing dengan penyertaan tempatan.

Advertisement
“Sabah mengalu-alukan pelaburan asing kerana rangkaian global dan akses pasaran merupakan pemacu penting kepada pertumbuhan pelancongan.

“Bagaimanapun, pelaburan mesti memberikan manfaat yang jelas kepada Sabah – memperkukuh penyertaan tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah serta memastikan limpahan ekonomi yang bermakna kepada komuniti,” katanya pada Ahad.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Jafry berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali bahawa 81 premis penginapan di Semporna dikendalikan oleh syarikat dan individu asing.

Armizan menggesa Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan menyiasat perkara itu bagi memastikan kepentingan tempatan dilindungi, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), selain memastikan peluang pekerjaan tempatan disediakan dan tidak diketepikan.

Advertisement
Jafry berkata objektif utama Pasukan Petugas itu adalah untuk menyelesaikan isu berkaitan pelancongan di Semporna melalui pendekatan yang menyeluruh dan sistematik, bukannya langkah reaktif, di samping menyelaraskan peranan serta bidang kuasa penguatkuasaan antara agensi berkaitan.

“Saya mengambil maklum kenyataan Datuk Armizan Mohd Ali berhubung 81 premis penginapan di Semporna yang dikendalikan oleh syarikat asing.

Advertisement
“Kami akan membuat penilaian menyeluruh terhadap premis penginapan berkenaan bagi memastikan pelaburan pelancongan memberi manfaat kepada Sabah dan rakyatnya,” katanya.

Pada Sabtu, Armizan dilaporkan berkata Kerajaan Negeri perlu menjalankan kajian menyeluruh mengenai peningkatan jumlah pusat penginapan dan chalet yang diuruskan pihak asing di Semporna bagi memastikan perniagaan dan tenaga kerja tempatan tidak diketepikan dalam rantaian nilai pelancongan.

Beliau berkata laporan awal menunjukkan kira-kira 81 pengusaha pusat penginapan dan chalet di Semporna sama ada diuruskan melalui usaha sama antara pelabur asing dan syarikat tempatan atau dikendalikan sepenuhnya oleh firma asing.

Jafry berkata isu melibatkan aktiviti dan operasi perniagaan haram sebahagian besarnya berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

“Kerajaan Negeri, melalui Pasukan Petugas, akan bekejasama rapat dengan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan serta pihak berkuasa berkaitan bagi menangani operasi perniagaan haram serta memastikan tadbir urus yang baik, penguatkuasaan berkesan dan pembangunan pelancongan yang teratur di Semporna.

“Pendekatan Kerajaan Negeri adalah berasaskan bukti dan berpaksikan penyelesaian bagi mengelakkan pelancongan menjadi ekonomi enklaf di mana keuntungan mengalir keluar dari negeri sedangkan manfaat kepada penduduk tempatan kekal terhad,” katanya.

Jafry berkata Sabah mesti kekal berdaya saing di peringkat global sambil memastikan rakyat Sabah menjadi penerima manfaat utama industri itu.

“Kerajaan Negeri juga akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memperkukuh tadbir urus, penyelarasan penguatkuasaan serta pembangunan pelancongan lestari di Semporna.” 
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here