Kota Kinabalu: Mayor Datuk Seri Dr Sabin Samitah melakukan pemeriksaan di kawasan sesak di sini, termasuk Pasar Besar dan jetinya, sekali gus menerima pujian orang ramai atas pendekatan turun padang beliau dalam memastikan tahap kebersihan dan keselamatan terpelihara.
Pemeriksaan pada 6 dan 7 Februari itu meliputi tandas restoran di sepanjang Jalan Pantai, gerai makanan di Pasar Besar serta kemudahan jeti di belakang pasar – semuanya lokasi utama yang sering dikunjungi penduduk tempatan dan pelancong.
Di Pasar Besar pada Sabtu, Mayor meneliti tahap kebersihan keseluruhan, pematuhan amalan pengendalian dan penyediaan makanan, pengurusan sisa pepejal dan cecair serta pematuhan terhadap syarat pelesenan dan peraturan kesihatan awam.
Pemeriksaan turut menilai kebersihan peralatan, penyimpanan bahan mentah dan makanan siap serta tahap kesedaran peniaga mengenai kepentingan kebersihan dalam melindungi kesihatan pengguna.

“Pematuhan terhadap amalan kebersihan makanan bukan sekadar keperluan undang-undang tetapi tanggungjawab moral semua pihak bagi memastikan keselamatan makanan dan kesejahteraan awam sentiasa terpelihara,” kata Sabin.
Pemeriksaan di jeti pula memberi tumpuan kepada kebersihan kawasan operasi, keadaan dan penyelenggaraan kemudahan awam, keselamatan infrastruktur serta aliran pergerakan pengguna. Pematuhan aspek keselamatan bagi pengguna dan pengusaha bot turut dinilai, termasuk keadaan fizikal jeti, ciri keselamatan persekitaran serta kesiapsiagaan pengurusan dalam mencegah kemalangan.
“Aspek kebersihan dan keselamatan di kawasan awam seperti pasar dan jeti memerlukan perhatian berterusan kerana ia memberi implikasi langsung terhadap keselamatan, keselesaan dan keyakinan orang ramai, selain mencerminkan imej dan reputasi Bandaraya Kota Kinabalu,” katanya.
Pada Jumaat, Mayor turut melawat tandas restoran di sekitar Jalan Pantai dan mengeluarkan amaran kepada premis supaya sentiasa menjaga kebersihan bagi memelihara imej bandar serta memberi tanggapan positif kepada pengunjung.
“Kesungguhan Mayor turun sendiri membuat pemeriksaan pada hujung minggu, di luar waktu pejabat, menunjukkan komitmen sebenar kepada rakyat,” kata seorang pengunjung Pasar Besar yang menyaksikan pemeriksaan itu.

“Daripada bercuti, beliau memilih turun padang … itulah kepimpinan yang dapat kami lihat dan rasai,” katanya.
“Kami menghargai Mayor kerana tidak hanya duduk di pejabat. Beliau meluangkan masa pada hujung minggu bagi memastikan pasar dan ruang awam kami selamat serta bersih untuk semua, sama ada penduduk tempatan atau pelancong,” kata seorang lagi orang awam yang berkongsi pandangan sama.