Kota Kinabalu: Beberapa jalan utama di pusat bandar akan ditutup sementara atau dilencongkan sempena Karnival Tahun Baharu Cina 2026 yang berlangsung di Lintasan Deasoka dari 9 hingga 11 Februari.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda berkata langkah berkenaan bertujuan memastikan kelancaran trafik serta keselamatan orang ramai sepanjang acara berlangsung.
“Laluan yang terjejas termasuk Jalan KK Bypass, Jalan Gaya, Jalan Pantai dan Jalan Coastal.
“Antara cabaran yang dijangka ialah kekurangan tempat letak kereta, penumpang diturunkan di jalan utama serta kenderaan yang diletakkan secara berlapis atau di pembahagi jalan,” katanya dalam wawancara bersama Sabah FM pada Jumaat.
Beliau menambah bahawa laluan kecemasan untuk ambulans dan jentera bomba akan sentiasa dibuka.
Menurutnya anggota polis trafik akan ditempatkan di sepanjang laluan terlibat bagi memastikan pergerakan trafik teratur dan keselamatan awam terjamin.
“Kawalan keselamatan di kawasan sesak juga akan dipertingkat bagi mencegah jenayah kecil seperti penyeluk saku,” tambahnya.
Sementara itu Kasim menasihatkan pengunjung supaya sentiasa memantau kanak-kanak dan menggalakkan warga emas berehat di kawasan yang sesuai serta mengelakkan kawasan terlalu sesak.