PAPAR: Penguatkuasaan terhadap lambakan produk asing akan diberi penekanan dalam Jawatankuasa Khas Peringkat Kabinet yang ditubuhkan bagi menangani isu penyalahgunaan pas lawatan sosial serta risiko lambakan produk asing di negara ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata isu itu dibangkitkan beliau dalam jawatankuasa baharu berkenaan susulan kebimbangan pelbagai pihak mengenai keselamatan produk terbabit.
Pada masa sama, katanya, terdapat kebimbangan mengenai standard serta kualiti produk yang masuk ke negara ini tanpa kawalan menyeluruh, khususnya menerusi pembelian secara dalam talian yang dikhuatiri menjejaskan produk tempatan.
Beliau berkata kerajaan amat menggalakkan pembelian dan penggunaan barangan tempatan bagi memastikan industri Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), yang terdiri daripada pengusaha tempatan, terus diperkasakan.
Advertisement





