KINABATANGAN: Seorang pekerja ladang dilaporkan hilang dan dipercayai menjadi mangsa serangan buaya di kawasan sungai berhampiran Ladang Kompas Tenggara, Sukau, di sini, Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan Hairi Otuh berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada jam 1.07 tengah hari Sabtu berhubung laporan kehilangan mangsa.
Berdasarkan maklumat pengadu, Stefanus Martin, 48, berbangsa Timor, dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar memukat ikan di sungai berhampiran lokasi kejadian kira-kira jam 8 malam pada Jumaat.
“Mangsa sebelum itu memaklumkan kepada pengadu bahawa beliau ingin memukat ikan di sungai berdekatan kawasan ladang. Namun sehingga malam, mangsa gagal dihubungi dan tidak pulang,” katanya dalam kenyataan.
Susulan itu, pengadu bersama beberapa pekerja ladang telah menjalankan pencarian di sekitar tebing sungai, namun mangsa tidak ditemui. Pemeriksaan lanjut hanya menemukan pakaian serta pukat ikan milik mangsa di lokasi kejadian.
Hairi berkata penemuan barangan tersebut menguatkan lagi kepercayaan bahawa mangsa dipercayai dibaham buaya ketika melakukan aktiviti memukat ikan.
“Pasukan bomba dari BBP Kinabatangan telah digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 35km dari balai untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya.
Sehingga laporan ini ditulis, mangsa masih belum ditemui.