KINABATANGAN: Bantuan rakan dalam kerajaan, antaranya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH), kepada calon Barisan Nasional (BN) serta penglibatan bersama dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag baru-baru ini memperlihatkan ikatan persahabatan yang baik sesama rakan parti.
Adun Lamag, Mohd Ismail Ayob, berkata jika dilihat kepada momentum tersebut, kerajaan perpaduan yang ditunjangi GRS juga berupaya memenangi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah ke-18 kelak.
“Sudah pasti jentera kita juga banyak membantu dalam gerak kerja kempen PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag baru-baru ini.
“Saya amat menghargai bantuan dan sokongan semua pihak dalam memastikan kita dapat mengekalkan kerusi yang dimenangi Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin (Barisan Nasional),” katanya dalam kenyataan, Rabu.
Pada PRK Sabtu lalu, Mohd Ismail berjaya mempertahankan kerusi BN bagi DUN Lamag apabila menang dengan majoriti 5,681 undi, menewaskan calon Warisan, Mazliwati Abdul Malek.
Pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sabah pada 29 Nov lalu, Mohd Ismail yang bertanding atas tiket Bebas tewas kepada Bung, sebelum PRK DUN Lamag diadakan susulan pemergian Bung pada 5 Dis lalu.
Sementara itu, calon BN, Mohd Kurniawan Naim Moktar, yang bertanding di kerusi Parlimen Kinabatangan, juga berjaya mengekalkan kerusi yang dimenangi bapanya dengan memperoleh 19,852 undi, menewaskan calon Warisan, Datuk Saddi Abdul Rahman dan calon Bebas, Goldam Hamid.
Mohd Ismail berkata, “persahabatan” antara BN dan rakan dalam kerajaan termasuk GRS memperlihatkan satu momentum yang sangat baik.
Pada Pilihan Raya Negeri Sabah lalu, BN dan rakan dalam kerajaan tidak bergabung, namun selepas pilihan raya itu mereka menjadi rakan dalam kerajaan dan bekerjasama membentuk kerajaan perpaduan.
Turut menyokong kerajaan perpaduan itu ialah Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) serta lima wakil rakyat Bebas.
Mohd Ismail dijangka mengangkat sumpah sebagai Adun Lamag minggu hadapan.