Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 26 tahun dijatuhi hukuman penjara selama 16 bulan oleh Mahkamah Majistret pada Khamis selepas didapati bersalah mencederakan isterinya.
Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali mensabitkan Mohd Syazwan Syamsurizal selepas perbicaraan penuh apabila mendapati tertuduh bersalah menyebabkan kecederaan terhadap isterinya yang berusia 22 tahun di sebuah unit pangsapuri di Putatan kira-kira jam 3 pagi pada 28 November 2023.
Dalam penghakimanya majistret berkenaan memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Syazwan dan seterusnya mensabitkanya seperti yang didakwa.
Mahkamah mengambil kira bahawa kes itu diputuskan selepas perbicaraan penuh, kepentingan awam, serta pendirian tegas pihak perundangan terhadap kesalahan di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 326A Kanun Keseksaan.
Mahkamah juga mengambil kira bahawa tertuduh menyedari akibat daripada perbuatanya serta hukuman yang bakal dikenakan selain menimbangkan faktor pemberatan yang dibangkitkan pihak pendakwaan dan faktor mitigasi yang dikemukakan oleh Syazwan.
Syazwan yang sebelum ini dibebaskan dengan jaminan mahkamah diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara berkenaan bermula dari tarikh sabitan. Wang jaminanya turut diarahkan dipulangkan.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan. Seksyen 323 memperuntukan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali manakala Seksyen 326A membenarkan hukuman sehingga dua kali ganda tempoh maksimum bagi kesalahan berkenaan apabila mangsa adalah pasangan.
Sepanjang perbicaraan seramai empat orang saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan telah memberi keterangan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Akaash Singh manakala Syazwan tidak diwakili peguam