TAWAU: Seorang lelaki tempatan ditangkap selepas didakwa bertindak agresif dan menyerang ahli keluarganya di Kampung Rancangan Ranggu, di sini, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata, penahanan suspek berumur 27 tahun itu dibuat sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah kira-kira jam 6.15 petang di hadapan rumahnya.
“Pemuda itu didakwa bertindak agresif selepas ayah kandungnya memberikan teguran terhadap dirinya,” katanya, mengesahkan laporan polis dibuat oleh abang kandung suspek berumur 41 tahun.
Dalam kejadian jam 11 pagi itu, suspek dikatakan cuba melibas pengadu dengan sebatang penyapu, namun tersasar sebelum bertindak menumbuknya.
“Suspek turut mengancam mahu membunuh adik perempuan mereka,” katanya, menambah pengadu membuat aduan kerana khuatir dengan reaksi adik lelakinya yang sering mengamuk jika diberikan nasihat.
Menurutnya, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 323 kanun yang sama.
“Kita tidak akan berkompromi terhadap sebarang ugutan, keganasan atau tindakan agresif bersenjata yang boleh mengancam keselamatan anggota masyarakat dan mengganggu-gugat ketenteraman awam.
“Kita juga mengingatkan semua pihak supaya memilih menyelesaikan perselisihan yang timbul selaras dengan saluran undang-undang dan segera membuat laporan polis jika berdepan situasi berbahaya,” katanya.