LABUAN: Aktivis, Haji Abdul Jalil Ghani memuji Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Dr Akmal Salleh, kerana menegur portal berita Malaysiakini susulan kesilapan menyiarkan imej yang disifatkan menyakiti sensitiviti umat Islam secara keseluruhan.
Beliau merujuk kepada kekhilafan apabila imej babi yang sepatutnya digunakan bagi laporan berkaitan penternakan babi di Selangor telah tersiar sebagai sebahagian liputan portal berkenaan terhadap Perhimpunan Agung Umno (PAU).
“Kesilapan seperti ini tidak sepatutnya berlaku daripada sebuah portal berita utama, sedangkan media lain seperti Sinar Harian dan Sin Chew Daily pernah dikenakan tindakan dan penalti oleh pihak berkuasa,” katanya.
Abdul Jalil merujuk kepada laporan tidak tepat oleh Sinar Harian yang mengaitkan Ketua Polis Negara (KPN) baharu sebagai ahli sebuah parti politik, serta akhbar berbahasa Cina itu yang dikenakan kompaun susulan kesilapan memaparkan Jalur Gemilang ketika lawatan Perdana Menteri China tahun lalu.
Beliau turut mempersoalkan sama ada Majlis Media Malaysia (MMC) mengamalkan dwistandard apabila berdiam diri terhadap kesilapan yang dilakukan Malaysiakini, namun pada masa sama aktif memberikan pandangan dalam beberapa kes lain.
Menurutnya, pada tempoh yang sama insiden berkenaan berlaku, terdapat isu membabitkan seorang wartawan Free Malaysia Today (FMT) yang mengemukakan soalan kepada seorang ahli politik Britain yang melawat negara ini, yang kemudiannya dianggap sebagai “sensitif”.
“Namun hanya kes wartawan FMT itu yang menarik perhatian Majlis Media. Tidakkah ini menunjukkan dwistandard oleh Majlis Media?” soalnya.
Abdul Jalil berkata kesilapan Malaysiakini adalah serius memandangkan haiwan berkenaan merupakan pantang larang dalam agama Islam, sehingga mendorong Dr Akmal menyifatkannya sebagai “kurang ajar” dan menuntut permohonan maaf daripada ketua portal tersebut kepada perwakilan Perhimpunan Umno.
“Saya masih ingat Majlis Media Malaysia ditubuhkan dengan penuh gembar-gembur, termasuk peruntukan RM5 juta di bawah Belanjawan Negara 2026.
“Saya mahu mengemukakan aduan berhubung isu imej babi ini, namun laman web Majlis Media menyatakan ia belum bersedia untuk menerima sebarang aduan,” katanya.
Beliau berkata kemungkinan ramai pihak lain turut berdepan situasi sama apabila cubaan mengemukakan aduan tidak dapat dilakukan.
“Apa yang dipaparkan kepada pengadu hanyalah mesej ‘akan datang. Kami akan kongsikan lebih banyak maklumat tidak lama lagi tentang bagaimana anda boleh membuat sebarang aduan atau rungutan’.
“Jadi kenapa Majlis Media Malaysia dilancarkan sedangkan ia masih belum bersedia sepenuhnya untuk berfungsi?” katanya.