KINABATANGAN: Seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan, ditemui di dalam sebuah kotak oleh seorang pekerja ladang sawit di sini.
Menurut Polis Daerah Kinabatangan, Supt Ravi A/l Duraisamy berkata, polis menerima maklumat pada jam kira-kira 7.27 malam, Sabtu lalu, berkaitan penemuan bayi berkenaan di sebuah ladang kelapa sawit milik Karangan Agriculture Sdn Bhd.
“Seorang pekerja ladang menemui bayi tersebut ketika sedang bekerja, sebelum memaklumkan perkara itu kepada pihak pengurusan.
“Bayi berkenaan kemudian dibawa ke klinik ladang untuk rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Kinabatangan bagi rawatan lanjut.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati bayi itu dianggarkan berusia antara tiga hingga lima hari dengan berat kira-kira 2.4 kilogram,” kata Ravi dalam kenyataan.
Bayi tersebut dilaporkan berada dalam keadaan stabil, cukup sifat serta tidak mengalami sebarang kecederaan.
Bayi itu akan dirujuk ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk pemantauan lanjut serta tindakan susulan oleh pihak kebajikan.
Siasatan awal mendapati lokasi kejadian tidak mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan setakat ini tiada saksi mata tampil memberikan maklumat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Polis kini giat mengesan individu yang terlibat. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pihak polis di talian 089-561890 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Syafiqah Dahon di talian 014-5573735 bagi membantu siasatan.
Kerjasama orang awam amat dihargai demi memastikan keselamatan serta kebajikan masyarakat terus terpelihara.