TAMBUNAN: Air Terjun Sungai Kolopis di Kampung Sunsuron, di sini, dikenal pasti mempunyai potensi besar sebagai tapak eko-pelancongan dan pelaburan, susulan lawatan tapak yang diketuai Ahli Parlimen Keningau merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Tambunan, Datuk Seri Dr Jeffrey G. Kitingan.
Dalam lawatan berkenaan, Dr Jeffrey berkata air terjun itu memiliki ciri semula jadi yang unik dan berpotensi dibangunkan sebagai produk eko-pelancongan bernilai tinggi serta berimpak rendah, selaras dengan strategi pelancongan mampan Sabah.
Beliau berkata lokasi yang masih kurang diterokai itu menampilkan dua tingkat air terjun dengan aliran air jernih dan berpotensi besar sekiranya pembangunan dilaksanakan secara tersusun serta menitikberatkan pemeliharaan alam sekitar.
“Air Terjun Sungai Kolopis merupakan aset semula jadi yang mempunyai potensi besar tetapi masih belum dimanfaatkan sepenuhnya. Dengan perancangan rapi dan pembangunan berteraskan pemuliharaan, ia boleh menjadi produk eko-pelancongan bernilai tinggi untuk Tambunan,” katanya.
Terletak kira-kira 45 minit hingga satu jam dari jalan akses terdekat, air terjun tersebut berada di sepanjang laluan pendakian Gunung Wakid, yang sememangnya menjadi tumpuan pendaki, pengembara lasak dan penggiat pelancongan berasaskan alam semula jadi.
Menurut Dr Jeffrey, kedudukannya membuka peluang untuk integrasi aktiviti pendakian, pengalaman alam semula jadi serta pelancongan berasaskan komuniti.
Lawatan itu turut menilai kesesuaian kawasan berkenaan bagi pelaksanaan projek akuakultur ikan empurau, satu inisiatif bernilai tinggi yang dijangka mampu menjana pulangan ekonomi, peluang pekerjaan serta manfaat rantaian kepada komuniti setempat.
Beliau menegaskan bahawa pembangunan pelancongan perlu dilaksanakan seiring dengan usaha pemuliharaan alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi inklusif bagi menjamin kelestarian jangka panjang kepada pelabur, penduduk dan daerah tersebut.
Lawatan tapak itu diselaraskan Pejabat Daerah Tambunan dan diketuai Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan), Willibrord Idang, bersama 32 pegawai serta wakil daripada pelbagai jabatan dan agensi teknikal.
Dr Jeffrey turut menyeru supaya satu rangka kerja pembangunan yang jelas serta sokongan aktif sektor awam diwujudkan bagi membuka potensi pelancongan dan pelaburan kawasan itu.
“Dengan kekayaan sumber semula jadi dan keunikan geografinya, Tambunan berkeupayaan menjadi pemangkin kepada pembangunan pelancongan mampan, inklusif dan mesra pelaburan di pedalaman Sabah,” katanya.