SANDAKAN: Seramai 24 pengedar dan penagih dadah ditahan menerusi beberapa siri operasi bermula 2 hingga 12 Januari lalu.
Operasi bersepadu itu dilaksanakan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis (IPD) Sandakan berdasarkan maklumat risikan serta rondaan berkala.
Ketua Polis Daerah ACP George Abd Rakman berkata operasi tersebut diadakan untuk membanteras aktiviti pengedaran dan penagihan dadah yang semakin berleluasa di kawasan bandar serta penempatan awam.
“Antara lokasi operasi terlibat ialah Kampung Sungai Kayu Batu 7, Bandar Ramai-Ramai, Flat Sri Taman Batu Tiga Setengah, Batu 14, Taman Sibuga, Kampung Sungai Batang Batu 10 serta beberapa kawasan perumahan dan flat awam sekitar Sandakan.
“Tangkapan melibatkan lelaki dan perempuan terdiri daripada warganegara dan wwarga asing yang disyaki terlibat dalam kes memiliki dadah serta memasukan dadah berbahaya ke dalam tubuh badan sendiri,” katanya.
Mengulas lanjut beliau menyatakan hasil pemeriksaan dan ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine (syabu), ketamine, amphetamine dan ganja.
Menurutnya kesemua suspek ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 bergantung kepada kesalahan yang dilakukan.
“Suspek-suspek berkenaan dibawa ke Pejabat BSJND IPD Sandakan untuk dokumentasi sebelum ditahan bagi tindakan lanjut dan siasatan terperinci,” ujarnya.
Sementara itu George menyatakan pelaksanaan operasi terbabit mencerminkan komitmen berterusan pihak polis dalam mempergiat usaha membanteras jenayah dadah demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat.