KOTA KINABALU: Adun Likas daripada Warisan, Tham Yun Fook menyatakan sokongan terhadap pertimbangan Kementerian Pendidikan Persekutuan untuk memperkenalkan semula Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), sambil menegaskan langkah itu selari dengan ikrar pilihan raya parti berkenaan di Sabah.
Tham berkata UPSR penting bukan sahaja bagi mengukur prestasi akademik pelajar, malah berfungsi sebagai penanda aras nasional bagi kemahiran asas seperti membaca, menulis dan mengira.
“Peperiksaan berpusat seperti UPSR membantu guru, ibu bapa dan Kementerian Pendidikan mengenal pasti jurang pembelajaran serta merangka intervensi bersasar, khususnya bagi murid di kawasan luar bandar dan daripada keluarga berpendapatan rendah,” katanya.
Beliau berkata keputusan UPSR juga akan membantu murid membuat peralihan lebih lancar ke sekolah menengah melalui penempatan kelas yang lebih sesuai serta pengenalpastian awal keperluan sokongan akademik.
Advertisement





